Wednesday, December 8, 2010

Remaja Curi Motor

4 lagi remaja ditahan sindiket curi motosikal


Zull Aznam Harun (tiga dari kiri) melihat sebahagian rangka motosikal yang dibawa keluar dari dasar Sungai Sentap, Arau, semalam.

ARAU 7 Dis. - Seramai empat lagi remaja ditahan setelah disyaki turut terlibat dalam sindiket curi motosikal yang ditumpaskan polis, 1 Disember lalu, dalam operasi besar-besaran polis sehingga semalam.

Jumlah itu menjadikan bilangan yang ditahan kerana terlibat sindiket tersebut meningkat kepada 13 orang.

Pemangku Ketua Polis negeri, Asisten Komisioner Zull Aznam Harun berkata, pihaknya percaya lebih banyak tangkapan akan dilakukan kerana semua remaja berkenaan mempunyai hubungan antara satu sama lain.

"Kesemua remaja berusia 15 hingga 21 tahun itu akan dilanjutkan tahanan reman selama sembilan hari bagi siasatan lanjut," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis daerah, di sini, hari ini.

Menurut beliau, remaja-remaja berkenaan yang terdiri daripada pelajar sekolah, pembantu kedai, penganggur dan bekerja sendiri berasal dari Kodiang dan Alor Setar, Kedah serta Arau, Perlis.

Zull Aznam berkata, berikutan tangkapan itu juga pihak polis menemui 29 rangka motosikal, 13 rangka enjin, sejumlah komponen motosikal, empat batang besi berbentuk T digunakan sebagai kunci bagi mencuri motosikal dan tujuh buah motosikal yang dipercayai dicuri.

"Barang-barang tersebut ditemui di beberapa tempat antaranya di Sungai Sentap di sini dan di rumah-rumah suspek," ujarnya.

Menurut beliau, kumpulan remaja tersebut yang memulakan kegiatan itu sejak 2008 beroperasi secara bergerak dari satu tempat ke satu tempat untuk mencari sasaran.

Zull Aznam mengingatkan ibu bapa supaya peka terhadap tingkah laku anak masing-masing terutama yang mengubah suai dan membawa alat ganti motosikal ke rumah.

"Kegiatan jenayah itu berleluasa kerana ibu bapa tidak mengambil berat aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak mereka dan tidak pernah rasa curiga," ujarnya.

Sementara itu beliau berkata, kes tangkapan dan rampasan tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan dan jika didapati bersalah boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun dan denda.

Selain itu katanya, Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana menyimpan harta curi kenderaan dan jika didapati bersalah boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan denda.

"Mereka turut disiasat di bawah Seksyen 412 Kanun Keseksaan kerana berniaga harta curi dan jika didapati bersalah boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda," katanya.

Mereka juga boleh dikenakan tuduhan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana menolong menyembunyikan harta curi dan boleh dikenakan penjara tidak lebih tujuh tahun dan denda.

No comments:

Post a Comment