Tuesday, December 14, 2010

Bunuh Pencuri Kena Gantung

3 ditahan belasah suspek curi motosikal hingga mati

PASIR MAS 13 Dis. – Akibat cuba mengambil tindakan undang-undang di tangan sendiri, tiga lelaki ditahan kerana memukul seorang pencuri motosikal sehingga mati di Kampung Slow Machang, dekat sini semalam.

Malah ketiga-tiga mereka berhadapan dengan hukuman mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan.

Kejadian berlaku pukul 2 petang selepas mereka yang berusia 25 hingga 35 tahun itu memberkas suspek terbabit setelah mengejarnya sejauh tiga kilometer.

Kumpulan lelaki itu kemudian bertindak membelasah suspek yang berusia 25 tahun sehingga cedera parah dan tidak sedarkan diri.

Mangsa disahkan meninggal dunia akibat cedera parah di belakang kepala dan beberapa bahagian badan ketika menerima rawatan di Hospital Pasir Mas (HPM), pukul 6.40 petang.

Menurut Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi, mangsa yang berasal dari kampung itu dibawa ke HPM oleh sepasukan pegawai dan anggota polis yang kebetulan mengadakan rondaan di kawasan berkenaan.

“Semasa kejadian suspek dipercayai telah melarikan sebuah motosikal Honda EX5 sebelum dikejar beberapa penduduk kampung selepas dimaklumkan pemilik kenderaan terbabit.

“Mangsa lalu dipukul bertubi-tubi dan kejadian itu disedari seorang pegawai polis yang kebetulan menjalankan rondaan di situ,” katanya kepada pemberita ketika melawat lokasi kejadian malam semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Lazim; Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Haliluddin Rahim dan Timbalannya, Supritendan Tengku Azman Tengku Abdullah.

Tambah Abdul Rahim, walaupun menyedari kehadiran polis, penduduk kampung terbabit masih terus memukul suspek yang mempunyai rekod jenayah dan terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata, ekoran kejadian itu polis menahan tiga lelaki untuk membantu siasatan dan pihaknya akan membuka dua kertas siasatan berhubung kes berkenaan.

“Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum sampai mati,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment