Thursday, December 15, 2011

wang palsu

Taktik cuba menipu makan diri
Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : December 15, 2011
Taktik cuba menipu makan diri
TEMERLOH – Tindakan seorang lelaki cuba memperdaya peniaga pasar malam Mentakab dengan membeli dua helai baju menggunakan wang palsu pada 10 Disember lalu, akhirnya memakan diri.

Cubaan lelaki terbabit A.Vicknesraja Singam 39, membeli dua helai baju T berharga RM14 daripada seorang peniaga pasar malam tersebut berjaya dihidu peniaga terbabit.

Peniaga terbabit bertindak dengan menghubungi seorang anggota polis yang kemudian menahan suspek dalam sebuah kereta tidak jauh dari pasar malam. Hasil pemeriksaan, polis menemui 22 keping lagi wang palsu pelbagai nilai dengan jumlah RM415.

Tindakan lelaki terbabit hanya membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas mengaku salah atas dua pertuduhan menggunakan dan memiliki wang palsu.

Hakim Dazuki Ali menjatuhkan hukuman terbabit terhadap Vicknesraja selepas tertuduh mengaku salah atas pertuduhan menggunakan wang palsu RM50 dalam urusan membeli dua helai baju T pada 10 Disember 2011 jam 8 malam di pasar malam Mentakab, iaitu kesalahan di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan.

Tertuduh juga mengaku salah atas pertuduhan kedua iaitu memiliki wang palsu sebanyak 22 keping berjumlah RM415 dengan mengetahui atau mempunyai sebab untuk mempercayai wang tersebut adalah palsu, kesalahan terbabit dibicarakan di bawah Seksyen 489C kanun keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Rashidi Abd Rahim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal kerana kesalahan terbabit dianggap berat.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya, memohon kepada mahkamah supaya hukumannya diringankan kerana mempunyai tanggungan seorang anak selain mendakwa tidak mampu melakukan kerja berat disebabkan tangan kirinya tidak boleh diangkat.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara selama dua tahun.

No comments:

Post a Comment