Sunday, December 25, 2011

penyamun dikesan di temerloh

Suspek kini berada di Temerloh

KUALA TERENGGANU 24 Dis. - Polis percaya empat suspek yang merompak barang kemas dan wang tunai berjumlah RM350,000 dari sebuah rumah peraih kelapa sawit di Kampung Tok Randok, Ajil, Hulu Terengganu semalam kini berada di sekitar daerah Temerloh, Pahang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Supritendan Mohd. Rosli Mohd. Amir berkata, pemeriksaan yang dilakukan ke atas salah sebuah telefon bimbit milik ahli keluarga mangsa yang dilarikan dalam kejadian itu mendapati ia kini berada di daerah tersebut.

Namun, katanya, polis percaya kesemua suspek berkenaan akan kembali semula ke negeri ini bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa di daerah itu.

Polis juga, tidak menolak kemungkinan kumpulan itu dianggotai lima individu yang mana seorang daripadanya bertindak sebagai pemandu kereta manakala empat yang lain memecah masuk rumah mangsa.

"Buat masa ini, kita masih mengesan identiti kesemua suspek itu dan akan terus memburu mereka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan 13 ahli keluarga seorang peraih kelapa sawit melalui detik-detik cemas apabila rumah mereka disamun empat perompak bertopeng kira-kira pukul 2.30 pagi.

No comments:

Post a Comment