Friday, December 30, 2011

ditipu 1 juta

3 pengarah didakwa tipu 12 pelabur lebih RM1 juta

SHAH ALAM 29 Dis. - Tiga pengarah sebuah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menipu 12 individu untuk melabur ke dalam syarikat itu lebih RM1 juta melalui skim ternakan ikan dalam sangkar antara Mei 2009 dan Julai tahun lalu.

Johar Arifin Baki, 45, S. Suresh Kumar, 30, dan Auni Zafirah Abdul Rahim, 25, dari syarikat Premier Agro Sdn. Bhd., masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Slamat Yahya.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa memperdaya 12 individu dengan menawarkan skim ternakan ikan patin dalam sangkar yang menjanjikan pulangan kepada mereka.

Janji tersebut telah mendorong pelabur-pelabur terbabit membuat bayaran pelaburan ke dalam akaun syarikat Premier Reliance (M) Sdn. Bhd., untuk faedah kegunaan akaun syarikat Premier Agro.

Pendakwaan terhadap mereka dikendalikan di bawah Seksyen 366 (3) Akta Syarikat 1965 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM30,000 atau kedua-duanya.

Pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Shari'ah Abu menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Johar Arifin, Suresh Kumar dan Auni Zafirah masing-masing merayu agar jumlah tersebut dikurangkan atas alasan tidak mempunyai pekerjaan serta perlu menanggung keluarga termasuk ibu bapa mereka.

Slamat kemudiannya membenarkan ketiga-tiganya dibebaskan dengan ikat jamin masing-masing RM12,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan mereka menyerahkan pasport kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.

Beliau turut menetapkan 2 Februari tahun depan untuk sebutan kes.

Sebuah akhbar tabloid pada 5 Julai lalu melaporkan seorang lelaki yang baru saja melangsungkan perkahwinan mendakwa ditipu sebuah syarikat agro selepas melabur RM35,370 bagi skim ternakan ikan patin dalam sangkar.

Berdasarkan perjanjian antara syarikat dan pelabur, setiap satu kilogram ikan berharga RM10 dan dia akan menerima bayaran RM1,440 setiap bulan.

Lelaki itu bagaimanapun hanya menerima bayaran RM1,020 dan RM1,440 untuk dua bulan pertama dengan syarikat di Bukit Tinggi, Klang itu apabila ia kemudian mula memberi pelbagai alasan sebelum ia didapati tidak lagi beroperasi.

No comments:

Post a Comment