Monday, December 5, 2011

dah tertangkap

Pekerja Bangladesh berkas perompak


LELAKI yang cuba merompak kedai serbaneka diikat tangannya selepas ditangkap di Alor Setar, Kedah, kelmarin.


ALOR SETAR 4 Dis. – Seorang lelaki yang cuba merompak sebuah kedai serbaneka di Jalan Sultanah di sini untuk kali kelima ditangkap oleh dua pekerja warga Bangladesh di kedai itu semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.40 petang, perompak berusia 29 tahun itu dipercayai seorang anggota tentera yang lari daripada tugas sejak dua tahun lalu.
Suspek tumpas kepada dua pekerja kedai itu setelah kepalanya dipukul dengan menggunakan kayu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Supritendan Baharom Abu berkata, suspek datang ke kedai itu dengan menaiki sebuah motosikal dan masuk ke kedai sambil mengacukan pistol tiruan kepada seorang pekerja kedai, Md. Shairajul Islam.
“Suspek memaksa mangsa mengeluarkan duit daripada kaunter wang namun mangsa enggan. Suspek kemudian bertindak memukul kepala mangsa dengan menggunakan pistol tiruan.
“Berlaku pergelutan apabila pekerja Bangladesh itu mengambil parang yang diletakkan di bawah kaunter wang untuk menakut-nakutkan penjenayah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Bagaimanapun, kata Baharom, suspek bertindak menggigit telinga mangsa menyebabkan pekerja itu menjerit memanggil kawannya yang juga pekerja di kedai tersebut.
“Rakan mangsa, Md. Mizan Nur Rahmat, 37, kemudian segera datang dan memukul kepala suspek dengan menggunakan sebatang kayu. Suspek yang cedera kemudian diikat sebelum diserahkan kepada polis.
“Polis kini menahan suspek sehingga Sabtu depan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan. Motosikal suspek juga dipercayai motosikal curi," jelasnya.
Sementara itu, Md. Mizan berkata, ketika kejadian dia baru selesai mandi di belakang kedai sebelum terdengar kawannya menjerit meminta tolong.
“Saya terus keluar dan memukul kepada penyamun itu sekuat hati kerana geram disebabkan pada bulan lepas dia sudah empat kali datang merompak kedai ini.
“Kami memang telah bersiap-sedia menunggu dia datang dan akhirnya dia berjaya ditangkap juga,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment