Friday, December 30, 2011

ragut kali kedua kena tangkap

Cubaan ragut kali kedua bawa padah
Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 29, 2011

KUALA TERENGGANU – Cubaan ragut kali kedua membawa padah kepada dua lelaki apabila salah seorang daripadanya berjaya ditahan orang awam yang juga pengadu dalam kejadian di Jalan Padang Hiliran, 26 Disember lalu.

Dalam kejadian pertama, dua suspek yang menaiki motosikal cuba meragut beg tangan isteri pengadu yang ketika itu sedang berjalan kaki dalam perjalanan ke tempat kerjanya kira-kira jam 1.05 petang, berhadapan Politeknik Kota, Jalan Sultan Ismail, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, cubaan itu bagaimanapun gagal, namun 15 minit kemudian, pengadu berusia 30-an yang juga seorang peniaga sekali lagi melihat dua suspek sama cuba meragut seorang warga emas.

“Pengadu melihat dua suspek yang cuba meragut isterinya sebelum itu telah meragut beg galas seorang warga emas di Jalan Padang Hiliran kira-kira jam 1.20 petang.

“Pengadu kemudian memandu keretanya dan mengejar dua suspek terbabit. Kira-kira 500 meter dari tempat kejadian, pengadu merempuh bahagian belakang motosikal suspek,” katanya.

Akibat rempuhan itu, motosikal dinaiki kedua-dua suspek terjatuh ke dalam longkang menyebabkan pengadu mengambil tindakan pantas menangkap salah seorang suspek, manakala seorang lagi berjaya melarikan diri dengan motosikal.

Manoharan berkata, pihaknya kini masih mengesan suspek yang berjaya melarikan diri dan percaya kedua-duanya terlibat dalam kes ragut di Kuala Terengganu dan Marang.

“Suspek lelaki yang berjaya ditahan berumur 30 tahun berasal dari Chabang Tiga, di sini, mengalami kecederaan ringan dan hasil siasatan ke atasnya positif dadah jenis Morfin,” katanya.

Manoharan berkata, suspek direman selama tujuh hari sehingga 2 Januari depan.

Selepas kejadian itu, isteri pengadu berumur 20-an dan warga emas terbabit berasal dari Kampung Baru, Lembah Bidong, Setiu, telah membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga.

Kes disiasat mengikut Seksyen 393 kerana cuba samun

No comments:

Post a Comment