Sunday, December 11, 2011

isi angin kena samun

RM100,000 habuan penyamun
Oleh : SYAMILAH ZULKIFLI
Tarikh : December 9, 2011
RM100,000 habuan penyamun
SEREMBAN – Seorang ahli perniagaan menjadi mangsa samun bersenjata ketika mengisi angin tayar keretanya di sebuah stesen minyak di Seremban 2, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.08 itu, mangsa kerugian RM100,000 apabila wang yang disimpan dalam beg dan diletakkan di bahagian depan tempat duduk penumpang dilarikan penjenayah terbabit.

Sebelum kejadian malang itu, mangsa mengeluarkan wang di sebuah bank di Rasah dan mahu pulang ke rumahnya selepas singgah minum di sebuah restoran berhampiran stesen minyak terbabit.

Ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, dia menerima panggilan telefon daripada mangsa memaklumkan dia disamun beberapa lelaki bertopeng ketika sedang mengisi angin tayar keretanya.

“Ketika mahu pulang, ada orang awam beritahu tayar depan sebelah kiri keretanya pancit.

“Disebabkan ada stesen minyak di kawasan berhampiran, dia mengambil keputusan mengisi angin terlebih dahulu,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun katanya, ketika mengisi angin, mangsa dikejutkan dengan kehadiran sebuah kereta yang berhenti tiba-tiba.

“Beberapa lelaki bertopeng cuba menyerangnya dengan senjata dan mangsa melarikan diri kerana bimbang dengan keselamatan dirinya.

“Selepas penyamun melarikan diri, mangsa mendapati cermin kereta bahagian tempat duduk penumpang dipecahkan dan beg berisi wang tunai miliknya tiada,” katanya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamarudin mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun ber­kumpulan.

No comments:

Post a Comment