Sunday, December 25, 2011

mau camry murah kena tipu

Suri rumah kerugian RM9,000

BATU PAHAT 24 Dis. - Gara-gara mahu memiliki kereta Toyota Camry pada harga RM18,000 dalam satu cabutan bertuah, seorang suri rumah kerugian RM9,000 akibat ditipu seorang wanita baru-baru ini.

Kejadian berlaku pertengahan bulan lalu apabila mangsa didatangi suspek yang memaklumkan kononnya dia telah memenangi cabutan bertuah kereta tersebut daripada sebuah syarikat minyak.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, suspek memaklumkan kepada mangsa bahawa sebanyak RM18,000 diperlukan sebagai kos pengurusan bagi memperoleh hadiah cabutan bertuah itu.

"Mangsa yang terpedaya dengan helah berkenaan menyerahkan wang tunai RM9,000 kepada suspek dan mahu membayar bakinya pada keesokan hari.

"Sebagai cagaran suspek telah meninggalkan dua alat penapis air yang didakwa bernilai RM9,000 bersama nombor telefon dan berjanji akan berjumpa dengan mangsa mengikut waktu yang telah dijanjikan, tetapi suspek tidak juga muncul," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, semalam.

Din berkata, susulan kes itu, polis sedang mengesan seorang wanita yang dikenali sebagai Veno Lim bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Dalam kes berasingan, kata beliau, seorang lelaki kerugian RM1,550 akibat terpedaya dengan jualan telefon bimbit dalam Internet bulan lalu.

Menurutnya, mangsa yang tertarik dengan tawaran berkenaan telah memasukkan wang tersebut ke dalam akaun suspek, tetapi hingga kini mangsa tidak menerima telefon bimbit itu.

Kedua-dua kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, kata Din.

"Polis menasihatkan orang ramai supaya jangan mudah terpedaya dengan apa juga jualan murah yang tidak munasabah seperti jualan dalam Internet selain cabutan bertuah yang memerlukan wang pendahuluan," katanya.

No comments:

Post a Comment