Sunday, December 25, 2011

dah culik dera pulak

Wanita direman

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my

PULAU PINANG 24 Dis. - Seorang wanita berusia 25 tahun yang disyaki terlibat dalam kes penculikan dan penderaan dua kanak-kanak yang hilang ketika bermain di Flat Jalan Padang Tembak, Air Itam di sini pada 13 Disember lalu direman untuk membantu siasatan polis.

Perintah tahanan reman selama 14 hari mulai hari ini itu dikeluarkan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit dalam prosiding di Mahkamah Majistret, di sini pagi ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, suspek ditahan reman selama 10 hari sehingga 2 Januari depan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik kerana hasil ujian saringan air kencing mendapati wanita itu positif mengambil dadah jenis heroin.

Katanya, suspek kemudian akan ditahan reman selama empat hari lagi sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan berhubung kes jenayah culik dan mendera kanak-kanak tersebut.

"Siasatan kes itu dibuat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan iaitu pengurungan salah dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga satu tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali," katanya di sini hari ini.

Dua kanak-kanak berusia antara tujuh dan lapan tahun yang dilaporkan hilang sejak 13 Disember lalu akhirnya ditemui pukul 1 petang semalam.

Penemuan kanak-kanak berkenaan membawa kepada penahanan seorang wanita yang mengaku mengurung dan mendera mereka.

Dia mengaku mengurung dan mendera kedua-dua kanak-kanak itu selama 10 hari di rumahnya selepas menyangka bahawa kedua-dua mereka mencuri wang dan telefon bimbit miliknya.

Pemeriksaan ke atas kedua-dua kanak-kanak di Hospital Pulau Pinang (HPP) mendapati terdapat kesan kecederaan dan kesan lebam serta melecur.

No comments:

Post a Comment