Wednesday, August 3, 2011

sms penipu tertangkap

Penipuan SMS: Lima rakyat Indonesia diberkas

TAWAU, 2 Ogos - Polis Tawau memberkas lima rakyat Indonesia, termasuk seorang wanita, kerana dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan membabitkan penggunaan Sistem Pesanan Ringkas (SMS).

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Ibrahim Chin berkata kelima-lima suspek berusia lingkungan 23 dan 46 tahun itu diberkas di sebuah rumah di kawasan bandar ini kira-kira 12.30 malam, Jumaat lepas.

"Kumpulan ini dipercayai beroperasi sejak lebih sebulan lalu," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan di kediaman suspek membawa kepada penemuan sebuah komputer riba, 12 telefon bimbit, tujuh kad ATM, empat buku catatan dan wang tunai berjumlah RM5,000.

Modus operandi sindiket itu ialah menghantar SMS kepada mangsa memaklumkan kononnya penerima SMS tersebut memenangi hadiah tertentu dan mangsa diminta mendeposit sejumlah wang sebelum boleh menuntut hadiah berkenaan.

Ibrahim berkata berdasarkan rekod, sejumlah 47 aduan berhubung penipuan SMS diterima di Sabah bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini yang melibatkan kerugian sebanyak RM261,909.50.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai agar tidak terpedaya dengan sindiket itu dan tidak menyerahkan nombor akaun bank mereka bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

"Mana ada orang yang nak beri wang percuma tanpa (mangsa) membuat apa-apa," katanya. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment