Monday, August 8, 2011

samun dan bunuh

Lagi kes samun, bunuh di Perak

IPOH 7 Ogos - Dalam tempoh empat hari sahaja, tiga kes samun dan bunuh berlaku di Perak. Terbaru, seorang lelaki warga emas ditemui mati dipercayai dibunuh selepas disamun di rumahnya di Taman Buntung Ria, Menglembu awal pagi ini.

Mayat mangsa, Looi Kim Loong, 67, yang merupakan seorang peniaga ditemui terbaring oleh ahli keluarganya pada pukul 2.10 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, ketika kejadian, mangsa tidur bersendirian di bilik utama rumah manakala isteri dan anaknya berada di bilik bersebelahan.

"Isteri dan anaknya terdengar bunyi bising dari bilik mangsa dan sebaik sahaja mereka masuk memeriksa bilik itu, mangsa dilihat sedang terbaring dengan kesan tikaman di leher menggunakan objek tajam.

"Hasil pemeriksaan, polis mendapati pintu rumah tidak berkunci semasa kejadian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kim Loong merupakan mangsa ketiga yang dibunuh dalam kejadian samun di negeri ini selepas insiden yang menimpa Timbalan Pengarah Jabatan Veterinar Perak, Dr. Rohani Kasim dan ibu saudara kepada Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Donald Lim Siang Chai iaitu Teoh Ah Nya @ Teoh Kooi Lan.

Rohani, 38, ditemui mati dicekik di Pangsapuri Permai Lake View, Tambun di sini pada Khamis lalu dipercayai akibat disamun. Polis kemudian menahan empat suspek tidak sampai 24 jam selepas pembunuhan itu bagi membantu siasatan.

Semalam, Ah Nya yang berusia 73 tahun pula ditemui mati dipercayai selepas disamun di rumahnya di Tanjung Piandang, Parit Buntar awal pagi semalam.

Sementara itu, menurut Dzuraidi, mayat Kim Loong dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurut beliau, pihaknya sedang memburu dua lelaki berusia antara 20 hingga 30 tahun yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan itu.

Selain itu katanya, pihaknya juga telah menjumpai gunting dan pisau di tempat kejadian yang dipercayai digunakan suspek untuk membunuh mangsa.

Beliau berkata orang ramai yang melihat kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di talian 05-2451222 untuk membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment