Wednesday, August 17, 2011

amah penyamun

Ahli perniagaan rugi RM300,000 angkara amah

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk kerugian hampir RM300,000 selepas pembantu rumahnya yang baru dua bulan berkhidmat, melarikan sejumlah wang tunai, barang kemas dan jam tangan berjenama dari kediamannya di Taman Mutiara, Gombak dekat sini petang Sabtu lalu.

Isteri ahli perniagaan berusia 56 tahun itu hanya menyedari kehilangan barang kemas, jam tangan berjenama Rolex, Omega, Ferragamo dan wang tunai RM7,500 selepas berbuka puasa.

Pembantu peribadi mangsa yang dikenali sebagai Zamri memberitahu, suspek warga Indonesia dikenali sebagai Rospita berusia 22 tahun dikatakan berlegar-legar di tingkat dua kediaman tiga tingkat ketika datin dan seorang lagi pembantu rumah sibuk menyediakan juadah berbuka puasa.

"Difahamkan, suspek mengenakan baju tidur saiz besar dan bengkung untuk menyorok barang-barang berharga itu dan memaklumkan mahu keluar membuang sampah.

"Seorang pengawal keselamatan nampak suspek menaiki sebuah teksi selepas membuang sampah, bagaimanapun tidak mengesyaki apa-apa," katanya ketika ditemui dekat sini, hari ini.

Menurut Zamri, ahli perniagaan syarikat minyak dan gas itu tiada di rumah dan mempunyai urusan kerja di luar ketika kejadian.

"Rospita ditugaskan untuk melakukan kerja seperti mengemas dan membersihkan rumah. Seorang lagi amah ditugaskan untuk memasak serta menjaga dua anak Datuk yang berumur dua dan empat tahun," katanya.

Zamri memberitahu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di rumah ahli perniagaan itu jelas menunjukkan gerak-geri suspek ketika kejadian.

"Kejadian tersebut dipercayai dirancang rapi kerana suspek mengetahui tempat simpanan barangan kemas dan wang isteri kepada majikan saya," katanya.

Berikutan itu, ahli perniagaan itu yang membuat laporan di Balai Polis Gombak menawarkan sejumlah ganjaran kepada sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai Rospita sehingga wanita itu ditemui semula.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan menerima laporan tersebut dan sedang menjalankan siasatan.

No comments:

Post a Comment