Monday, August 22, 2011

ganti anak jadi tebusan

Culik: Ibu sanggup jadi tebusan

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Seorang ahli perniagaan wanita sanggup mengambil alih tempat anak gadisnya yang menjadi tebusan kepada seorang lelaki bersenjata dalam sebuah kereta di Taman Bukit Cheras di sini, awal pagi ini.

Tindakan berani wanita berusia 44 tahun itu berlaku ketika dia cuba menyelamatkan anak gadisnya berusia 24 tahun yang sebelum itu diculik di hadapan rumah mereka di Gombak, kira-kira pukul 1.30 pagi.

Suspek, dipercayai seorang ah long berusia 32 tahun dan kenalan kepada keluarga mangsa membawa mangsa ke rumahnya di Taman Bukit Cheras.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, anak gadis mangsa yang juga ahli perniagaan diculik sebaik sahaja tiba di rumah menaiki sebuah kereta jenis BMW.

"Mangsa yang tidak menyedari suspek menunggu di hadapan rumah terkejut apabila diacukan senjata dan dipaksa memandu keretanya pergi ke rumah lelaki terbabit di Taman Bukit Cheras," katanya pada sidang akhbar Balai Polis Alam Damai, Cheras di sini, hari ini.

Mohan Singh berkata, ibu mangsa yang dimaklumkan mengenai kejadian culik itu oleh seorang anak gadisnya yang tinggal di Australia bergegas membuat laporan polis di Gombak sebelum pergi ke rumah suspek.

Beliau berkata, suspek sempat memanggil dua rakannya datang ke rumah membantunya, cuba melarikan diri menggunakan kereta mangsa sebaik sahaja menyedari kedatangan polis.

"Suspek memaksa seorang rakannya memandu kereta, manakala dia yang bersenjatakan pedang duduk di belakang bersama mangsa yang dijadikan tebusan.

"Bagaimanapun, kereta itu tidak dapat bergerak apabila dihalang oleh kenderaan polis dari depan dan belakang menyebabkan suspek bertambah agresif sehingga keadaan menjadi semakin cemas," ujarnya.

Melihat nyawa anak gadisnya terancam, ibu mangsa memujuk suspek agar membenarkan dirinya dijadikan tebusan.

Menurutnya, usaha memujuk suspek dan pertukaran tebusan itu mengambil masa kira-kira tiga jam sebelum suspek akhirnya dapat diberkas.

"Kita masih menyiasat motif penculikan ini dari semua sudut termasuk kaitan dengan hubungan cinta," katanya sambil memberitahu lelaki terbabit juga mempunyai satu rekod jenayah lampau.

Katanya lagi, suspek kini disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan (culik), Seksyen 307 (cubaan membunuh) dan Seksyen 342 kanun yang sama (mengurung secara salah) serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Hakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (memiliki senjata).
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment