Thursday, April 19, 2012

pinjam 1 bayar 20

ARKIB : 18/04/2012
Share on facebook Share on twitter Share on email Share on print More Sharing Services 1
Sengsara hutang hanya RM1,000, terpaksa bayar RM20,000

JOHOR BAHRU 17 April - Seorang penjual tiket bas yang pada mulanya hanya meminjam RM1,000 daripada ah long untuk mengambil alih gerai makan rakannya, kini terpaksa menanggung hutang lebih RM20,000 dalam tempoh dua bulan.

Lebih memburukkan keadaan, Suzana Hassan, 31, meminjam daripada 16 ah long semata-mata untuk melangsaikan hutang yang bermula dengan jumlah kecil.

Keadaan ini berlaku apabila wanita itu tidak mampu membayar bunga RM200 seminggu daripada ah long pertama, menyebabkan dia meminjam daripada ah long kedua untuk menjelaskan bayaran itu.

Kitaran hutang Suzana berulang sehingga dia berhutang dengan seramai 16 ah long, kesemuanya dihubungi menerusi iklan.

Menurut Suzana, masalah itu bermula apabila dia berhasrat mengambil alih gerai makan milik rakannya di Taman Ungku Tun Aminah pada Februari lalu dan mengambil keputusan berhenti kerja.

"Saya terpaksa meminjam daripada ah long selepas bank menolak permohonan saya kerana nama saya disenaraihitamkan ketika masalah pembelian kereta.

"Saya sudah berjaya membayar kira-kira RM15,000 kepada lima ah long, namun masih berhutang RM9,000 dengan 11 ah long," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Biro Aduan Masyarakat MCA Bahagian Johor Bahru, Michael Tay.

Menurutnya, dia terpaksa membayar RM7,600 sebulan hanya untuk duit bunga sedangkan hasil yang diperoleh daripada gerai makan berkenaan kira-kira RM3,000 sebulan sekali gus menyebabkan dia bertindak meminta bantuan daripada Michael.

Suzana memberitahu, dia berharap masalahnya itu dapat diselesaikan segera dan kemudian bercadang untuk berhenti daripada meneruskan perniagaan gerai makannya dan bekerja semula sebagai penjual tiket bas.

"Setiap kali hendak lelap mata saya teringat akan duit yang sudah dipinjam dan khuatir perkara tidak diingini berlaku seperti yang terjadi Jumaat lepas apabila ada ah long ugut untuk memalukan saya jika wang tidak dibayar," ujarnya.

Dalam pada itu, Michael berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pihak terlibat supaya mereka boleh menimbang untuk mengurangkan jumlah bayaran bunga kerana Suzana memang berhasrat untuk menjelaskan semua hutangnya.

"Saya sudah berjumpa dengan dua daripada 11 ah long itu dan mereka telah bersetuju untuk memberi Suzana lebih masa bagi menjelaskan pinjamannya," katanya sambil menasihatkan orang ramai supaya tidak lagi meminjam daripada ah long.

No comments:

Post a Comment