Thursday, April 12, 2012

geng kangkang

ARKIB : 11/04/2012

Polis tumpaskan Geng Kangkang


Zull Aznam Haron (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan susu tepung yang dicuri pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis, Kangar, semalam. - UTUSAN/faizal abu hassan


KANGAR 10 April - Jika sebelum ini kumpulan penjenayah menyasarkan kenderaan atau barang kemas namun tidak bagi sekumpulan penjenayah di sini, dikenali sebagai Geng Kangkang yang menjadikan susu tepung berjenama untuk dicuri.
Kumpulan itu bagaimanapun tumpas selepas polis memberkas lima daripada 10 ahli kumpulan itu, iaitu 13 jam selepas mencuri susu tepung pelbagai jenama dari dua kedai runcit di sini antara pukul 3.30 dan 4.05 petang, 5 April lalu.
Selain negeri ini, kumpulan tersebut dipercayai turut aktif mencuri susu tepung dari pasar raya di sekitar Lembah Kelang.
Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Zull Aznam Haron berkata, kesemua suspek terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berasal dari Sabah yang berusia 21 hingga 53 tahun.
Kata beliau, kesemuanya ditahan oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis keesokannya pada pukul 3.30 pagi di Klang, Selangor.
Tambahnya, turut ditahan seorang peniaga kedai ubat di Kuala Lumpur yang membeli susu-susu tepung berkenaan, pada 7 April lalu.
"Suspek ditangkap berdasarkan kereta sewa yang digunakan semasa melakukan jenayah itu. Hasil soal siasat mereka mengaku mencuri susu tepung di Kangar dan menjualnya kepada peniaga ubat itu di Kuala Lumpur.
"Dengan tertangkapnya suspek, polis percaya dapat menyelesaikan kes curi susu tepung di pasar raya dan premis perniagaan di Perlis dan Lembah Klang," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis di sini hari ini.
Zull Aznam berkata, modus operandi kumpulan itu ialah dengan memasukkan susu tepung di dalam kain suspek wanita sebelum meninggalkan premis.
Katanya, perbuatan mereka bagaimanapun terbongkar hasil penelitian yang dibuat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis terbabit.
"Kita masih memburu saki baki lima lagi dari ahli kumpulan itu yang masih bebas terdiri daripada tiga wanita dan dua lelaki," katanya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.
Tambahnya, jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda dan bagi kesalahan kali kedua boleh dihukum penjara dan denda atau sebat.
"Sesiapa yang terlibat membeli barang curi pula boleh dihukum maksimum lima tahun dan denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment