Saturday, April 7, 2012

lelaki diburu

Polis cari lelaki bantu siasatan kes rogol gadis

SEREMBAN 6 April - Polis mencari seorang lelaki, Nor Azli Zainal Abidin, 32, bagi membantu siasatan berhubung satu kes rogol gadis bawah umur di sebuah hotel dekat Senawang, dekat sini empat tahun lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin menjelaskan, dalam kejadian pada 18 Jun 2008 itu seorang gadis berusia 13 tahun mendakwa seorang lelaki yang dikenalinya telah merogolnya di hotel berkenaan.

"Gadis itu telah membuat laporan polis pada 21 Julai 2008 mendakwa pada pukul 9 pagi dia didatangi seorang lelaki yang dikenali di kawasan Sikamat.

"Mangsa telah menaiki kereta dengan suspek sebelum dirogol di tempat kejadian," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban (IPD) di sini, kelmarin.

Saiful Azly menambah, bertindak atas maklumat, suspek berjaya ditahan dan kertas siasatan telah dibuka disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

"Sementara kes sedang disiasat dan menunggu laporan perubatan, forensik, serta pertuduhan, suspek telah dibebas dengan jaminan polis pada 2 Oktober tahun yang sama.

"Sejak dari itu Nor Azli Zainal Abidin yang memegang kad pengenalan bernombor 801027-05-5387 telah menghilang diri dan hingga kini masih diburu," ujarnya.

Beliau meminta orang ramai yang ternampak atau mengetahui individu itu agar menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di sini.

Dalam perkembangan berlainan, Saiful Azly memberitahu, polis turut memburu sekumpulan penjenayah dipercayai warga asing kerana disyaki terlibat dalam kes pecah rumah dan samun sekitar kawasan Rantau.

"Bermula 29 Mac lalu sehingga hari ini, sebanyak empat kes pecah rumah dan samun bersenjatakan parang disyaki dilakukan kumpulan penjenayah warga asing, satu kes di kawasan Kuala Sawah manakala tiga kes yang sama di Rantau di sini,'' ujarnya.

No comments:

Post a Comment