Saturday, April 14, 2012

doktor menangis

ARKIB : 13/04/2012

Doktor menangis klinik diserbu


Timbalan Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Farmasi KKM,Mazlan Ismail menunjukkan pil psikotropik haram yang dirampas di sebuah klinik di Taman Danau Desa, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 12 April - Seorang doktor lelaki menangis teresak-esak dan menggigil apabila klinik miliknya di Taman Danau Desa di sini, diserbu pihak berkuasa kerana dipercayai menjual pil psikotropik kepada penagih dadah hari ini.
Serbuan pukul 10.45 pagi itu dilakukan oleh sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Penguat Kuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Doktor berusia lingkungan 40-an yang mendapat pendidikan di dua universiti luar negara itu bagaimanapun bernasib baik apabila dia hanya diambil keterangan dan tidak ditahan.
Selain di Taman Danau Desa, sebuah lagi klinik di Taman OUG di sini turut diserbu kerana melakukan kesalahan yang sama.
Pengarah Penguat Kuasa Farmasi KKM, Mohd. Hatta Ahmad berkata, pemeriksaan itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan berhubung tindakan pemilik klinik menjual pil psikotropik yang diharamkan sejak tahun lalu.
Menurutnya, ketika serbuan terhadap klinik di Taman Danau Desa, seorang lelaki dipercayai penagih dadah sedang membeli sejenis pil psikotropik iaitu dormicum.
"Dalam serbuan itu, pihak kami menemui hampir 1,000 biji pelbagai jenis pil tersebut yang terdiri daripada dormicum, stilnox dan valium selain pil viagra.
"Klinik di Taman OUG pula dikesan menjual pil jenis xanex yang akan memberi kesan ketagihan. Pil yang dipercayai diseludup dari Pakistan ini boleh menjadikan mereka yang mengambilnya bertindak agresif termasuk terlibat dalam jenayah," katanya kepada Utusan Malaysia.
Serbuan hari ini diketuai Penolong Pengarah Penguat Kuasa Farmasi KKM, Mazlan Ismail.
Mohd. Hatta berkata, pil psikotropik diharamkan di negara ini apabila ia dikesan dijual secara tidak dikawal oleh pelbagai pihak dan pengambilan yang tidak mengikut syarat.
"Sepatutnya pil psikotropik hanya untuk pesakit insomnia, tetapi ia kini menjadi pil kegilaan penagih dadah yang kemudian dilaporkan agresif melakukan jenayah," ujarnya.
Difahamkan, klinik tersebut terletak di tingkat bawah sebuah pejabat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) anti dadah.

No comments:

Post a Comment