Thursday, April 12, 2012

cicir sekolah curi motor

Padah curi motosikal
Wartawan Sinar Harian
11 April 2012
Noor Hashim menunjukkan motosikal yang dicuri dan dileraikan suspek.
GELANG PATAH – Seorang remaja keciciran sekolah adalah antara enam yang dicekup pihak polis pada 2 April lalu di sebuah premis perniagaan Taman Nusantara, di sini, kira-kira jam 11 malam, selepas didapati terbabit dalam kegiatan curi motosikal.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, bertindak melalui maklumat orang ramai dengan kecekapan pihak polis yang membuat rondaan, remaja tempatan berusia 16 hingga 18 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, tiga remaja ditahan pada tarikh berkenaan dan hasil soal siasat pihaknya berjaya mengesan tiga lagi suspek pada keesokan hari sekali gus membawa penemuan tujuh motosikal termasuk jenis Yamaha RXZ dan Honda EX5 yang telah dileraikan.

“Modus operandi suspek adalah mencuri motosikal seterusnya meleraikan komponen untuk dijual kepada kenalan dan kegunaan sendiri, manakala rangka motosikal ditemui di sungai Kampung Bukit Tempurung, di sini.

“Sebahagian komponen motosikal yang belum sempat dijual berjaya ditemui di rumah suspek, justeru pihak polis menasihatkan supaya ibu bapa memantau aktiviti anak-anak mereka supaya tidak terlibat dalam kegiatan jenayah,” katanya pada sidang media di Balai Polis Gelang Patah, di sini, semalam.

Beliau turut mengingatkan pemilik motosikal supaya menambah ciri-ciri keselamatan pada kenderaan masing-masing bagi mengelakkan ia dicuri.

“Dua suspek telah didakwa di mahkamah manakala yang lain masih ditahan. Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan. Dengan tertangkapnya semua suspek pihak polis berjaya menyelesaikan 42 kes curi motosikal di daerah Nusajaya dan kawasan berdekatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment