Thursday, April 19, 2012

batu delima

ARKIB : 18/04/2012

Warga emas rugi RM100,000 akibat percaya 'batu delima sakti'


Koh Ah Tiam menunjukkan batu delima palsu pada sidang akhbar di Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 17 April - Orang ramai khususnya warga emas di negeri ini dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan taktik pihak tertentu yang cuba mengaut keuntungan melalui kegiatan menjual batu delima 'sakti' yang dikatakan mampu menyembuhkan penyakit.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Supritendan Koh Ah Tiam berkata, tahun lalu sahaja sebanyak 11 kes dikesan manakala sehingga April tahun ini, terdapat lima lagi kes dengan jumlah kerugian sebanyak RM200,000.
Terbaru, katanya, seorang warga emas berusia 70 tahun dari Cukai, Kemaman kerugian kira-kira RM100,000 apabila terpedaya oleh kumpulan yang didalangi tiga suspek yang mendakwa mereka mampu mengubati penyakit menggunakan batu tersebut.
"Mangsa ditunjukkan dengan sejenis batu delima yang boleh mengeluarkan cahaya seolah-olah ia merupakan batu sakti atau mempunyai kuasa ajaib," katanya di sini hari ini.
Percaya dengan kata-kata suspek, warga emas berkenaan menyerahkan wang tunai sebelum menyedari dia telah tertipu dan kemudian membuat laporan polis.
Menurut Ah Tiam, batu delima yang didakwa mengeluarkan cahaya berkenaan hanyalah batu delima palsu yang direka dapat mengeluarkan cahaya apabila bertindak balas kepada air bagi membolehkan mangsa yakin terhadap 'kuasa' batu berkenaan.
"Taktik yang digunakan kumpulan ini memang licik apabila batu itu juga diletakkan di dalam sejenis bekas antik yang menjadikan ia seolah-olah berharga walhal mudah didapati di pasar malam," katanya.
Katanya, kumpulan tersebut yang dikenal pasti terdiri daripada penduduk tempatan dan warga Indonesia menjadikan warga emas yang menghidap penyakit kronik sebagai sasaran dengan mengunjungi rumah mereka dan menyatakan hasrat ingin membantu.
Bagi menyakinkan mangsa, urusan jual beli juga dilakukan hanya melalui bungkusan dan tidak diserahkan secara terang iaitu dengan memasukkan wang dan batu itu ke dalam sampul surat atau kain dan hanya boleh dibuka selepas waktu Maghrib.
"Namun apabila dibuka, ada di antara mangsa yang memperoleh batu-bata, duit syiling serta gelang besi yang langsung tiada nilai sedangkan ada mangsa yang membayar dengan jumlah ribuan ringgit.
"Kebanyakan mangsa mudah terpedaya memandangkan mereka terdesak dan menghidap penyakit yang sukar sembuh selain taktik yang digunakan oleh kumpulan itu meyakinkan mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment