Tuesday, February 21, 2012

penyimbah ditangkap

Simbah asid: Polis tahan 2 suspek

KUALA TERENGGANU 20 Feb. - Polis menahan seorang nelayan dan penganggur bagi membantu siasatan kes dua lelaki yang disimbah asid di sebuah rumah di Kampung Padang Mercang, Marang dekat sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, kedua-duanya yang berusia 32 dan 39 tahun itu ditahan di rumah mereka di Kampung Padang Rusa dan Kampung Padang Mercang, pukul 7.30 petang.

Katanya, siasatan awal pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian simbah asid tersebut yang menyebabkan dua sahabat itu melecur di muka dan badan bermotifkan cemburu.

Bagaimanapun, Manoharan enggan mendedahkan butiran lanjut sehingga kes itu diselesaikan.

"Hasil maklumat awam, kedua-dua individu itu dikatakan pernah bertengkar dan mengugut salah seorang daripada mangsa yang berusia 38 tahun.

"Bagaimanapun, buat masa ini kita masih belum mengetahui punca sebenar kejadian sehinggalah mendapat maklumat lengkap daripada kedua-dua individu itu," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah beliau, pihaknya kini berusaha mendapatkan maklumat lengkap daripada kedua-dua suspek yang ditahan reman selama seminggu dan siasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

"Kita juga akan mendapatkan maklumat daripada kedua-dua mangsa yang dalam keadaan stabil di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)," katanya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan seorang pelajar yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Mohd. Fazil Hanafi Idrus, 18, melecur teruk di muka, tangan dan kaki manakala rakannya, Shahrulzaman Salim, 38, melecur di muka dan badan akibat disimbah asid ketika sedang tidur di sebuah rumah.

Dalam kejadian pukul 5.15 pagi itu, kedua-duanya disimbah asid melalui sebuah tingkap pada bilik tidur dan dikatakan dilakukan oleh individu yang tidak dikenali.

Kedua-dua mereka kini dirawat di Unit Kebakaran, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

No comments:

Post a Comment