Saturday, February 25, 2012

nokia buatan dicina

Pekerja Bangladesh kemuka aduan ke TTPM

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
s2@utusan.com.my

BOLEH dikatakan pada masa kini, sesiapa sahaja tidak kira orang dewasa mahupun kanak-kanak mempunyai telefon bimbit sebagai satu alat komunikasi yang penting dalam kehidupan seharian mereka.

Begitu juga dengan pekerja-pekerja asing di negara ini. Memiliki telefon bimbit bagi mereka bukanlah sesuatu yang dianggap mewah kerana ia memudahkan mereka menghubungi rakan-taulan atau keluarga di negara asal mereka.

Afzamah Abdullah, 35, dari Bangladesh tidak terkecuali dalam hal ini. Dia yang telah bekerja di negara ini sejak dua tahun lalu telah membeli sebuah telefon bimbit jenama Nokia yang bernilai RM350 dari sebuah kedai telekomunikasi di ibu negara pada bulan lalu.

Menurut lelaki tersebut kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di Kuala Lumpur baru-baru ini, dia diberitahu oleh pekerja di kedai terbabit bahawa telefon bimbit yang ingin dibelinya adalah buatan negara China.

''Berdasarkan tinjauan di kedai-kedai lain, saya tidak puas hati kerana sepatutnya harganya bernilai RM130 kerana telefon bimbit berkenaan diperbuat dari China.

''Memang harga asal berjumlah RM500 tetapi setelah pekerja kedai itu memberi diskaun sebanyak RM150, saya masih tidak puas hati,'' jelas Afzamah dalam bahasa Melayu pada prosiding tersebut.

Dengan menganggap telefon bimbit buatan China itu dijual dengan harga yang terlalu mahal, dia kemudian mengemukakan aduan kepada TTPM agar duitnya dikembalikan oleh kedai telekomunikasi terbabit.

Presiden TTPM, Datuk Abu Bakar Awang yang mendengar kes tersebut memberitahu bahawa aduan berhubung perbezaan harga telefon bimbit, bukan tanggungjawab tribunal.

Namun jelas beliau, tribunal memberi peluang kepada Afzamah mengemukakan aduan dengan menasihatinya agar menyemak alamat kedai telekomunikasi itu di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

''Afzamah sebentar tadi mendakwa pekerja di kedai berkenaan enggan menerima borang tuntutan yang dikemukakan.

''Oleh demikian, kamu dinasihat untuk menyemak alamat kedai berkenaan dan menghantar borang tuntutan itu semula melalui pos supaya penentang hadir pada prosiding akan datang,'' kata Abu Bakar.

No comments:

Post a Comment