Monday, February 20, 2012

keldai dadah makin giat

Dijanjikan upah lumayan

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 19 Feb. - Kegiatan penyeludupan dadah dari Malaysia ke luar negara menggunakan wanita tempatan sebagai kurier dikesan semakin serius akhir-akhir ini apabila sekurang-kurangnya seorang 'keldai dadah' dilaporkan ditangkap setiap bulan.

Lebih membimbangkan, hampir kebanyakan wanita yang ditahan sedar bahawa barang diseludup adalah dadah tetapi sanggup mengambil risiko kerana tertarik dengan upah lumayan ditawarkan oleh sindiket.

Dalam tempoh seminggu ini, dua kes wanita Malaysia dicekup di luar negara kerana menyeludup dadah iaitu di Balik Papan, Kalimantan, Indonesia dan Australia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, sejak kebelakangan ini, banyak tangkapan wanita Malaysia menyeludup dadah ke luar negara terutama di Indonesia dan Australia dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, apa yang membimbangkan ialah semua wanita yang ditahan itu apabila disiasat mengaku mengetahui barang dibawa adalah dadah dan tidak dipaksa melakukan jenayah tersebut.

"Sebaliknya, mereka yang ditangkap terlibat dengan jenayah itu mengaku melakukannya secara sukarela setelah dilatih dan dijanjikan upah lumayan oleh sindiket didalangi rakyat tempatan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini.

Menurut Noor Rashid, dalam tempoh sebulan sahaja, PDRM menerima laporan sekurang-kurangnya satu kes rakyat Malaysia dijadikan 'keldai dadah' ditahan di luar negara terutama Indonesia dan Australia.

Beliau berkata, Indonesia dan Australia mencatatkan kes tangkapan dadah tertinggi membabitkan rakyat Malaysia kerana harga pasaran bahan itu terutama syabu amat mahal di negara berkenaan.

Ujarnya, sekilogram syabu berharga RM250,000 di Malaysia, boleh mencecah harga empat kali ganda atau RM1 juta di Indonesia, manakala 12 kali ganda atau RM3 juta di Australia.

Dalam pada itu, dua wanita tempatan yang ditahan bersama dadah di Australia dan Indonesia dalam minggu ini merupakan mangsa berketurunan Cina dan Bidayuh.

Difahamkan, gadis Bidayuh yang ditahan di Australia semalam berasal dari Kampung Annah Rais, Jalan Puncak Borneo, Kuching, Sarawak.

Seorang lagi wanita berusia 25 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sepinggan, Balik Papan, Kalimantan pada Rabu lalu, sebaik tiba dengan penerbangan dari Kuala Lumpur.

Suspek diberkas setelah polis negara jiran itu yang menjalankan pemeriksaan mendapati dia menyumbat tiga bungkusan plastik mengandungi syabu seberat 175 gram dalam kemaluannya.

Selain dua kes ini, difahamkan baru-baru ini juga ada seorang lelaki berketurunan Bidayuh berasal dari Kuching, ditemui mati di Thailand apabila kapsul mengandungi dadah yang ditelan pecah dalam perut.

No comments:

Post a Comment