Tuesday, February 21, 2012

barang kemas dicuri

Barang kemas lesap angkara 'Tikus'
Wartawan Sinar Harian
21 Februari 2012

KUALA BERANG - Natijah meletakkan barang kemas serta wang tunai di atas tilam menyebabkan seorang peniaga mengalami kerugian RM20,000 apabila rumah kedainya dipecah masuk dua pelanggannya dalam kejadian di Kampung Tengkawang 25 November lalu.

Bagaimanapun, dia terpaksa berputih mata kerana barang curi tidak dijumpai ketika polis berjaya menahan salah seorang daripada dua suspek terbabit yang lebih dikenal sebagai ‘Tikus’ pada 11 Februari lalu di Kampung Tanjung Baru kira-kira jam 12.45 tengah hari.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir berkata, enam gelang tangan emas dan wang RM2,000 yang dicuri tidak dapat dikembalikan kerana Tikus lupa peraih yang dijualnya.

“Setelah pengakuan dibuat dan hasil siasatan yang dijalankan, polis mendapati suspek telah menjual barang curi kepada peraih di daerah Dungun bagi mengelak dikesan di daerah ini.

“Bagaimanapun, seorang lagi suspek yang masih bebas yang turut dikenali mangsa yang mendakwa berasal dari Kampung Tengkawang sedang diburu polis berhubung kes ini,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu, semalam.

Menurutnya, suspek yang ditahan berusia 29 tahun bersama seorang lagi rakan, masuk ke rumah kedai berkenaan ketika berpura-pura menjadi pelanggan mangsa dan mengambil kesempatan ketika mangsa kembali ke bahagian dapur.

“Mangsa mengesyaki perbuatan curi ini dilakukan kedua suspek kerana ketika kembali ke bahagian hadapan, dia mendapati salah seorang daripada mereka tiada di tempat duduknya.

“Kemudian mangsa masuk ke dalam rumah dan terserempak dengan seorang lelaki iaitu rakan suspek yang ketika itu terjun daripada tingkap rumahnya,” katanya.

Suspek disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan penjara boleh sampai empat belas tahun atau denda atau kedua-duanya.

No comments:

Post a Comment