Saturday, February 25, 2012

ditembak polis

3 perompak emas ditembak mati



ANGGOTA polis mengangkat mayat suspek rompakan kedai emas di pekan Banting, Selangor, semalam.



KUALA LANGAT 24 Feb. - Lima penjenayah yang mengambil kesempatan waktu sembahyang Jumaat untuk merompak sebuah kedai emas menerima padah apabila tiga daripadanya maut dalam kejadian berbalas tembak dengan polis semasa cuba melarikan diri ke kawasan belukar di Jalan Tali Air, pekan Banting di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 1.05 petang itu, dua lagi penjenayah yang membawa sebahagian besar hasil rompakan berjaya meloloskan diri dan kini sedang diburu.
Terdahulu, kumpulan perompak warga tempatan bersenjatakan dua pucuk pistol, tukul besi dan sebilah parang itu melarikan lima dulang barang kemas bernilai RM150,000 di kedai emas Elil Many Jewellers di Jalan Bunga Pekan yang terletak kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian berbalas tembak berlaku.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, semasa keluar dari kedai emas, kumpulan penjenayah itu terserempak dengan pasukan anti rompakan polis Selangor yang ditugaskan melakukan rondaan bagi mencegah jenayah semasa waktu sembahyang Jumaat.
Beliau berkata, mereka yang memakai topeng muka dan menaiki kereta Toyota Vios dipercayai menuju ke Jalan Tali Air untuk bertukar kereta bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
"Mereka telah meletak sebuah kereta Proton Perdana di situ tetapi tidak sempat menukar kenderaan kerana pasukan polis telah mengejar. Apabila tiba di Jalan Tali Air, mereka terus keluar dari kenderaan dan lari menuju ke kawasan belukar.
"Semasa melarikan diri, mereka melepaskan empat das tembakan ke arah pasukan polis yang mengejar mereka. Bagi mempertahankan diri, tembakan balas dilepaskan ke arah mereka hingga menyebabkan tiga daripadanya maut dan dua lagi berjaya lolos," kata beliau kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini petang ini.
Menurut Mohd. Adnan, pemeriksaan pihaknya menemui sebahagian barangan kemas yang dilarikan kumpulan itu, dua pistol, sebilah parang, tiga butir peluru dan tiga kelongsong peluru di dalam kereta Toyota Vios dan pada mayat penjenayah.
Beliau berkata, siasatan awal terhadap latar belakang tiga penjenayah terbabit mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau dan kereta Toyota Vios yang digunakan mereka juga didapati telah dicuri di Kelana Jaya dekat sini dua hari lalu.
Tambah beliau, mayat penjenayah berusia lingkungan 26 hingga 28 tahun dan masing-masing berasal dari Segamat, Johor; Tampin, Negeri Sembilan dan Banting, Selangor dihantar ke Hospital Banting untuk bedah siasat.

No comments:

Post a Comment