Saturday, February 18, 2012

dicekup

Tiga penjenayah pecah rumah dicekup

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Sekumpulan penjenayah warga Indonesia yang memecah masuk sebuah rumah di Jalan TS 10, Templer Saujana, Rawang dekat sini awal pagi ini ditahan polis selepas percubaan mereka menyamun gagal.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 pagi itu, suspek yang dipercayai terdiri daripada lima orang memecah masuk sebuah rumah teres di kawasan perumahan tersebut, yang difahamkan mempunyai pondok dan pengawal keselamatan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, kejadian disedari seorang mangsa Jazrina Azmir, 27, yang terdengar bunyi bising seperti orang sedang mengetuk dan cuba memecahkan pintu biliknya.

Katanya, bimbang dengan situasi itu, Jazrina segera menghubungi polis untuk meminta bantuan.

"Suspek dikatakan melarikan diri ke kawasan hutan di belakang rumah mangsa sebaik sahaja polis tiba.

"Pemeriksaan mendapati, suspek telah mengumpil pagar hadapan rumah mangsa untuk cuba masuk ke dalam rumah. Namun, tiada kerugian dilaporkan dalam kejadian itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Abdul Rahim, bertindak atas maklumat, satu pasukan khas dilancarkan bagi menyiasat dan memburu suspek yang bersembunyi dalam hutan berhampiran kawasan perumahan itu.

Beliau berkata, dua jam selepas itu, pihaknya mengesan kumpulan suspek yang sedang bersembunyi kira-kira satu kilometer dari kawasan perumahan dan terpaksa melepaskan tiga das tembakan.

"Hasil pemeriksaan di sekitar kawasan itu, polis menemui sebuah khemah persembunyian suspek yang dipercayai didirikan dalam tempoh 48 jam.

"Kami berjaya menahan tiga suspek berusia antara 25 hingga 30 tahun manakala dua lagi rakan mereka sempat melarikan diri.

"Kami percaya dua lagi rakan suspek masih bersembunyi di dalam hutan itu dan usaha mencari mereka masih giat dijalankan," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment