Wednesday, July 13, 2011

trauma disamun

Dua beradik trauma disamun dua perompak

KUANTAN 12 Julai - Seorang wanita dan abangnya, orang kurang upaya (OKU) trauma apabila rumah mereka di Batu 5 Jalan Gambang di sini, dimasuki dua lelaki bersenjatakan parang semalam.

Sebelum kejadian, kedua-dua mangsa yang masing-masing berusia 30 tahun dan lingkungan 40-an keluar dari rumah menghantar adik mereka ke tempat kerja di sebuah pasar raya dekat sini.

Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Supritendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, kira-kira pukul 8.40 pagi mangsa sampai kembali ke rumahnya dan terkejut apabila mendapati dinding rumah mereka terbuka.

"Wanita itu kemudian menjerit untuk bertanya dari luar dan terkejut apabila muncul dua lelaki yang menutup muka dengan kain serta bersenjatakan parang meluru ke arahnya.

"Suspek meragut rantai leher mangsa ketika wanita itu meluru ke arah abangnya di dalam kereta. Suspek turut menarik rantai leher abang mangsa," katanya ketika di temui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini.

Katanya, suspek tersebut turut melarikan telefon bimbit, sedikit wang tunai, kunci kereta milik mangsa dan sebuah motosikal berwarna putih.

Tambahnya, bagaimanapun, wanita dan abangnya itu tidak cedera dan kerugian keseluruhan yang dialami mangsa sebanyak RM2,000.

"Kita masih memburu suspek itu dan kes disiasat di bawah seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

No comments:

Post a Comment