Friday, July 8, 2011

Drama Sungai Abong



Drama tebusan tadika Sungai Abong

Oleh KAMIL MASLIH
pengarang@utusan.com.my


LELAKI yang cedera ditembak oleh sepasukan Unit Tindakan Khas kerana menjadikan kanak-kanak dan guru Tadika Serikids sebagai tebusan di Taman Sungai Abong Cemerlang, Muar, Johor, semalam.

MUAR 7 Julai - Nyawa 30 kanak-kanak dan empat orang guru menjadi taruhan dalam kejadian tebusan oleh seorang lelaki yang bersenjatakan tukul besi dan parang di Pusat Jagaan dan Didikan (Tadika) Serikids di Taman Sungai Abong Cemerlang, Sungai Abong di sini, hari ini.

Lelaki berusia 40 tahun yang dipercayai kurang siuman dan seorang penagih dadah itu menceroboh masuk tadika yang terletak di sebuah rumah banglo dua tingkat itu kira-kira pukul 9.15 pagi sebelum mengurung semua penghuninya.

Pihak polis dan ahli keluarga lelaki tersebut yang tiba di tempat kejadian kira-kira pukul 10 pagi cuba berunding dengan suspek meminta supaya semua tebusan dibebaskan, namun gagal.

Setelah rundingan gagal, sepasukan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) menyerbu masuk ke dalam tadika itu pukul 3.40 petang dan suspek telah ditembak di bahagian kepala mengakibatkan dia mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di hospital malam ini.

Insiden tebusan tersebut berakhir pada pukul 4 petang dengan kesemua tebusan iaitu empat guru wanita dan 30 kanak-kanak berusia antara 2 hingga 6 tahun itu berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, suspek dalam kes tersebut dipercayai individu sama dalam kes serangan seorang lelaki kurang siuman yang mencederakan kanak-kanak menggunakan tukul di Tadika Sinario di Lorong Haji Ali, Jalan Abdul Rahman di sini pada 10 Mac tahun lalu.

Katanya, pihak polis juga percaya suspek adalah orang sama dalam kejadian tiga kanak-kanak ditikam di hadapan sebuah pusat penjagaan kanak-kanak di Jalan Sakeh, Sungai Abong pada 12 Januari 2009.

Mengimbas detik-detik kejadian tebusan di Tadika Serikids hari ini, Jalaluddin berkata, polis mendapat maklumat mengenainya pukul 10 pagi dan sebuah kereta peronda dihantar ke premis itu.

"Suspek dikatakan mengurung kesemua empat guru dan 30 kanak-kanak di dalam sebuah bilik di tingkat atas dan dia turut mengunci semua pintu di tadika itu.

"Usaha untuk berunding dengan suspek dilakukan sejak pukul 11 pagi hingga 3 petang dan suspek telah mengemukakan beberapa tuntutan tidak logik, termasuk meminta sepucuk pistol automatik," katanya.

Tambahnya, salah seorang detektif dapat mengecam dan mengenal pasti identiti suspek dan telah membawa bapa saudara, kakak serta adik suspek untuk memujuknya namun usaha itu gagal.

Katanya, polis yakin kesemua tebusan berada dalam keadaan selamat untuk satu serbuan dilakukan setelah menemui sekeping kertas yang diremukkan dan dilempar keluar oleh salah seorang guru tadika itu mengatakan dalam bahasa Cina: 30 kanak-kanak dan guru dikunci di dalam bilik atas.

Menurutnya, semasa serbuan dilakukan, banyak kerusi telah diselerakkan di bahagian tangga oleh suspek dan dia yang berada di tingkat atas juga bertindak menghalang kemaraan pihak polis dengan menyembur alat pemadam api.

Katanya, suspek cuba bertindak agresif dengan menggunakan tukul sebagai senjata dan pihak polis terpaksa melepaskan tembakan mengenai bahagian kepalanya menyebabkan dia mengalami cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini.

Suspek disahkan meninggal dunia di hospital pukul 9.15 malam ini.

"Mengenai seorang kanak-kanak yang dikatakan telah dicederakan, suspek telah berbohong mengenainya semasa rundingan dilakukan dan kesemua tebusan adalah selamat tanpa kecederaan," katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan.


Suspek nampak baik tapi sering berubah laku


MUAR 7 Julai - "Lelaki itu nampak macam baik. Dia boleh dukung kanak-kanak, tetapi tiba-tiba dia boleh arahkan seorang guru memukul kepalanya dengan tukul besi. Jika tidak, murid-murid tadika akan dicederakan."

Detik-detik mencemaskan itu antara pengalaman yang dilalui oleh Pengetua Pusat Jagaan dan Didikan (Tadika) Serikids, Khoo Chon Den, 50, serta tiga guru dan 30 kanak-kanak lain yang menjadi tebusan seorang lelaki kurang siuman yang bersenjatakan parang dan tukul di Taman Sungai Abong Cemerlang, Sungai Abong di sini, hari ini.

Katanya, disebabkan semua guru takut untuk memukul suspek dengan tukul itu, kesemua yang berada di dalam rumah itu dikumpulkan di dalam sebuah bilik di tingkat atas tadika.

Menurut Chon Den, kesempatan berada dalam bilik itu digunakan untuk dia mengunci pintu itu dari dalam dan suspek hanya mampu berlegar-legar di luar bilik tersebut tanpa dapat mencederakan sesiapa.

Dia memberitahu, suspek yang berusia 40 tahun itu menceroboh masuk pukul 9.15 pagi melalui salah satu pintu belakang tadika tersebut.

"Dengan membawa tukul, dia meminta kami mengikut arahannya dan mengugut akan mencederakan kanak-kanak jika tidak memberi kerjasama," katanya.

Dia bersyukur kesemua selamat dalam kejadian itu dan berterima kasih kepada polis yang menjalankan tugas dengan sempurna.

Dalam pada itu, menurut salah seorang penduduk, Soh Yoke Chong, dia terpinga-pinga apabila dihalau pergi oleh guru tadika semasa mahu menghantar anaknya ke tadika itu.

"Tiap-tiap hari apabila saya menghantar anak, cikgu akan datang membuka pintu pagar, tetapi hari ini tiada. Apabila dia keluar, guru itu memberitahu kunci tiada dan tadika ditutup sambil memberi isyarat mata.

"Sebab tidak berpuas hati, saya telefon cikgu itu dan kali ini lelaki itu keluar dan menyuruh anak saya ditukarkan ke tadika lain," katanya.

Mengesyaki sesuatu yang tidak kena sedang berlaku, wanita itu menghubungi suaminya yang kemudian memaklumkan perkara tersebut kepada pihak polis.

Ibu bapa lega murid selamat

MUAR 7 Julai - Ibu bapa kanak-kanak yang menjadi tebusan dalam kejadian di Pusat Jagaan dan Didikan (Tadika) Serikids di Taman Sungai Abong Cemerlang, Sungai Abong di sini hari ini, melahirkan rasa lega dan syukur apabila semua mangsa selamat tanpa kecederaan.

Kesemua 30 kanak-kanak berusia antara dua hingga enam tahun serta empat orang guru itu berjaya diselamatkan kira-kira pukul 4 petang selepas sepasukan polis menyerbu masuk ke dalam tadika itu.

Salah seorang bapa kepada kanak-kanak yang menjadi tebusan, Tan Cheak Tan, 40, berkata, dia bimbang mengenai keselamatan anaknya, Tan Ying Lee, 4, sepanjang insiden tebusan selama lebih lima jam itu.

"Bila semua orang sudah dibawa keluar, pada masa itu, saya baru dapat rasa lega kerana anak saya dan semua orang selamat," katanya yang dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 11 pagi.

Seorang lagi bapa kanak-kanak tebusan, Low Mei Tang, 32, dia tidak tentu arah sepanjang drama tebusan tersebut dan hanya mampu berdoa untuk keselamatan anaknya, Goh Jie Seng, 3.

"Pihak polis datang begitu ramai dan keadaan begitu mencemaskan, namun saya lega kerana semuanya berjaya diselesaikan dan semua orang selamat," katanya.

Kebimbangan sama turut dikongsi sama oleh bapa kepada salah seorang guru tadika itu, Mohd. Sah Abdul Karim, 58, yang tidak menyangka kejadian tersebut boleh berlaku di tempat anaknya mengajar.

"Anak saya, Nor Azah, 22, baru mengajar di tadika itu beberapa bulan lalu dan saya terkejut apabila diberitahu ada orang kurang siuman mengurung semua orang di dalam tadika itu," katanya.

Katanya, setelah menunggu berjam-jam dengan penuh debaran, dia bersyukur anaknya berjaya diselamatkan dan tidak mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment