Thursday, July 14, 2011

perompak naik kereta bmw

Peniaga rugi RM50,000, disamun pemandu BMW

HULU LANGAT 13 Julai – Hajat seorang peniaga mahu membaik pulih rumah tidak kesampaian apabila dia disamun selepas mengeluarkan wang dari dua bank di Bandar Baru Bangi dan Kajang di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, mangsa bersama rakannya yang menaiki kereta telah diekori dua penjenayah yang memandu kereta mewah jenis BMW sebaik sahaja keluar bank sebelum suspek bertindak melanggar kenderaan mereka dari belakang dan menyamunnya.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, sebelum kejadian, peniaga berusia 35 tahun itu dan rakannya telah pergi ke sebuah bank di Bandar Baru Bangi untuk mengeluarkan wang RM70,000 bagi membaik pulih rumahnya.

Beliau berkata, pihak bank berkenaan bagaimanapun memintanya pergi ke bank cawangan di tempat lain kerana tidak mempunyai wang mencukupi untuk diberikan.

“Dia kemudian pergi ke satu lagi bank cawangan yang terletak di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan mengeluarkan wang sebanyak RM40,000 manakala RM30,000 lagi dikeluarkan di cawangan lain di bandar Kajang.

“Lelaki terbabit bagaimanapun memasukkan semula RM30,000 ke dalam akaunnya di sebuah bank lain di Kajang dan membawa pulang baki RM40,000 untuk digunakan membaik pulih rumah,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini hari ini.

Ab. Rashid berkata, selesai urusan di Kajang, mangsa menghantar rakannya pulang ke rumah di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi tetapi tidak menyedari ada penjenayah sudah memerhatikan mereka.

Beliau berkata, meskipun perasan ada sebuah kereta BMW mengekori dari belakang, mangsa langsung tidak mengesyaki apa-apa kerana menyangka pemandunya tidak mungkin terlibat dengan jenayah.

Katanya, sebaik sahaja sampai di hadapan rumah rakannya, suspek tiba-tiba melanggar belakang kereta mangsa yang berhenti di tepi jalan dan mengambil kesempatan menyamun mangsa apabila dia keluar untuk melihat kerosakan kenderaannya.

“Mangsa tergamam apabila dua lelaki bertopeng dan bersenjatakan pisau pemotong daging datang merapati dan memecahkan cermin hadapan kenderaannya.

“Suspek dengan pantas melarikan beg berisi wang RM40,000 dan dua lagi beg lain berisi komputer riba serta alat projektor tanpa sempat rakannya yang berada dalam kereta berbuat apa-apa,” katanya sambil memberitahu mangsa mengalami kerugian kira-kira RM50,000.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment