Tuesday, July 19, 2011

5 mpv kejar 1 mpv

Suspek samun dikejar lima MPV sebelum ditahan

KUALA LUMPUR 18 Julai - Seorang penjenayah lelaki yang dikehendaki polis berhubung kes curi kenderaan di Sungai Petani, Kedah dicekup selepas 30 minit dikejar lima kenderaan peronda polis dari Taman Tempua, Puchong Jaya sehingga ke Sungai Ramal, Kajang malam tadi.

Suspek berusia lingkungan 20-an itu melarikan diri menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan di Taman Tempua pada pukul 9.20 malam.

Kenderaan dinaiki suspek bersama seorang rakannya juga dalam lingkungan usia yang sama cuba ditahan oleh anggota polis.

Polis mengesyaki pembabitan kedua-dua lelaki itu dalam jenayah selepas mendapati nombor pendaftaran kenderaan yang mereka naiki itu adalah palsu.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias, pemandu Toyota Estima bagaimanapun tiba-tiba memecut menghala ke lebuh raya Sistem Lingkaran Luar Kajang (Silk) selepas sebuah MPV polis cuba menahan mereka.

"Ketika dikejar, MPV polis itu meminta bantuan empat lagi kereta peronda tambahan menjadikan lima buah MPV polis mengejar Estima dinaiki dua lelaki terbabit.

"Bagaimanapun, sebaik sahaja tiba di Sungai Ramal, kenderaan dinaiki dua suspek itu gagal dikawal lalu terbabas dan merempuh pembahagi lebuh raya. Ketika dikejar, kereta penjenayah itu merempuh dua plaza tol di Kajang Silk dan di susur masuk Kajang, Lebuh Raya Utara-Selatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Abd. Razak, selepas terbabas, kedua-dua suspek keluar dari kenderaan itu untuk melarikan diri. Salah seorang daripada mereka diberkas selepas terjatuh ke dalam longkang manakala rakannya dapat meloloskan diri.

Polis, katanya, menemui pelbagai peralatan pecah masuk dan samun dalam kenderaan berkenaan.

Tambahnya, suspek yang ditahan itu positif dadah dan dikehendaki mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam kes curi kenderaan di Sungai Petani.

Katanya, susulan penangkapan suspek, polis menyerbu sebuah rumah teres di Jalan Klang Lama di sini pukul 11 pagi ini.

Di rumah itu, tambah beliau, polis menemui sebuah mesin untuk menghasilkan kunci pendua, serangkai kunci kereta jenis Honda dan Toyota, peralatan pecah rumah, dua peket dadah syabu dan sebuah kenderaan Mitsubishi Triton yang dilaporkan hilang di Kuantan, Pahang.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment