Friday, September 24, 2010

Tiru Aksi Di TV

Aksi kejam punca perlakuan ganas


2010/09/23

PEMAPARAN cerita berunsur ganas dan kejam di televisyen atau di layar perak mempengaruhi sikap serta kasih sayang penonton.

Bukan setakat filem malah permainan video yang dimainkan kanak-kanak sejak kecil turut menjadi penyumbang utama pelbagai kejadian jenayah kini. Walaupun paparan hanya dalam bentuk animasi, tingkah laku ditunjukkan dalam permainan video itu seakan watak sebenar di luar.

Demikian menurut Pensyarah Psikologi, Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan, Fakulti Sains Kemanusiaan & Kemasyarakatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Fatimah Yusof.

Tambah lagi sekiranya seorang kanak-kanak bermain sejak kecil sehingga dia meningkat remaja, bayangkan sebanyak mana tingkah laku ganas yang berjaya dipelajarinya. Sedikit demi sedikit perlakuan ini akan terserap dalam diri mereka tanpa disedari ibu bapa.

Malah nilai positif seperti kasih sayang, lemah lembut serta sopan santun akan terhakis dan digantikan dengan sifat suka memberontak, bergaduh, memukul, panas baran, tidak sabar dan pelbagai nilai negatif lain.

Cerita berunsur ganas bukan hanya terkandung dalam filem Inggeris tetapi menurut Dr Fatimah, ia semakin banyak dipaparkan dalam drama dan filem Melayu, Cina dan Tamil yang ditayangkan di Malaysia.

“Diakui semua tayangan ini mempunyai nilai positif pada pengakhiran cerita. Namun penonton terpaksa menonton aksi ganas, kejam atau lucah pada pertengahan cerita terlebih dulu sebelum memperoleh nilai murni itu. Namun, sebanyak mana penonton mendapat nilai positif atau sebaliknya, ia sukar dipastikan,” ujarnya.

Daripada pemerhatiannya, apa yang dipaparkan di televisyen, itulah yang berlaku di luar. Contohnya, jika dulu tiada kes rogol dan bunuh melampau tetapi kini kejadian sedemikian semakin berleluasa. Begitu juga dengan kejadian culik, bunuh dan bakar yang disiarkan di dalam filem juga mula ditiru penjenayah.
Wanita juga sering dipaparkan sebagai golongan lemah oleh semua etnik. Sering kali di televisyen wanita menjadi mangsa yang dirogol, dibunuh, didera, ditindas dan diperlakukan dengan kejam. Paparan yang kerap ini menyebabkan perbuatan ini melekat di minda penonton seterusnya menjadi aksi yang akan ditiru mereka.

Tambahnya, faktor yang perlu diambil kira ialah didikan keluarga yang turut menjadi penyumbang kepada tingkah laku ganas anak-anak. Kanak-kanak yang dibesarkan dalam persekitaran keluarga yang tidak seimbang contohnya bapa yang memiliki sifat panas baran atau kaki pukul turut mempengaruhi tingkah laku anak supaya cenderung melakukan perbuatan sama apabila mereka meningkat dewasa.

Ini kerana, setiap hari mereka melihat bapa memukul ibu atau bergaduh sehingga cedera. Tingkah laku yang tidak sepatutnya ini akan melekat dalam fikiran mereka dan lama-kelamaan mereka sendiri melakukannya.

“Cuba selidik latar belakang seorang perogol, kaki pukul atau pembunuh dan lihat bagaimana keluarga mereka. Mungkin ada segelintir saja yang tidak dipengaruhi ibu bapa dan latar belakang keluarga selebihnya berkait rapat,” katanya.
Persekitaran yang tidak selamat juga menjadi punca berlakunya masalah ini. Pergaduhan sesama jiran, juga dikelilingi masyarakat yang porak-peranda menyebabkan gejala ini semakin berleluasa.

Menurutnya, untuk menyekat jenayah kejam daripada berlaku amat sukar namun dengan kesedaran dimiliki wanita, tidak kira kanak-kanak, remaja, isteri dan ibu, mampu membendungnya daripada berleluasa.

“Wanita harus sedar hak mereka dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang tidak dijangka. Misalnya, isteri harus mengetahui hak mereka sebagai isteri, hak sebagai pekerja di pejabat serta persediaan yang boleh dilakukan ketika di luar untuk mengelak daripada diugut, diculik atau dirogol.

“Wanita harus sedar lelaki sering menganggap wanita sebagai insan yang lemah dan ditindas justeru dengan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan serta langkah keselamatan, ia mampu mengelak wanita daripada terbabit dalam kemalangan dan jenayah,” ujarnya yang pernah menjalankan Kajian Mengenai Penderaan Isteri pada 2009.

Hasil kajian itu mendapati ramai isteri tidak mengetahui hak mereka dan terus membiarkan diri didera kerana tidak mahu hilang punca pendapatan serta kehilangan suami. Ini menjadi faktor utama kes penderaan wanita semakin meningkat setiap tahun.

Selain itu, sistem pendidikan yang mementingkan pencapaian akademik dengan menonjolkan anak-anak yang hebat dalam pelajaran menyebabkan pelajar yang lemah merasa terpinggir.

Ini menyebabkan mereka menjadi semakin malas, terus mundur dan bertindak nakal disebabkan tiada perhatian guru dan ibu bapa.

“Apabila golongan ini dibiarkan, kemungkinan mereka akan terus melakukan perkara tidak elok. Mereka yang gagal tidak harus dibiarkan gagal sebaliknya harus diberikan galakan untuk membina sahsiah cemerlang daripada segi sosial dan peribadi,” katanya.

Hanya pendidikan agama saja dapat meningkatkan jati diri sekali gus mengelak daripada melakukan perbuatan jenayah. Ini kerana agama akan dapat mengekang perbuatan yang tidak sepatutnya berlaku.

Bagi anak-anak yang taksub kepada permainan video, pemantauan daripada ibu bapa sangat penting supaya mereka memilih permainan yang tidak mempunyai unsur ganas dan kejam keterlaluan.

Paling penting, kaum lelaki harus sedar peranan mereka sebagai pemimpin dan ketua keluarga. Mereka tidak berhak menganiaya wanita, memukul atau merogol sebaliknya harus mewujudkan kasih sayang kepada ibu, isteri, adik, kakak serta anak perempuan mereka.

Apabila adanya kasih sayang ini, sekiranya mereka ingin melakukan sesuatu ke atas wanita seperti merogol atau membunuh, mereka akan terfikir perasaan mereka sekiranya mangsa itu adalah kaum keluarga sendiri.

“Sikap kasih sayang serta rasa bertanggungjawab ini harus diterapkan ketika anak-anak masih kecil. Ajar mereka untuk menghormati wanita tanpa mengira agama dan bangsa.

“Ini sangat penting supaya apabila mereka meningkat remaja, kebarangkalian untuk melakukan kekasaran atau jenayah ke atas wanita boleh dielakkan,” katanya.

Pembunuhan kejam membabitkan wanita dan kanak-kanak:

4 Januari 2010
Pengurus katering dituduh di Mahkamah Majistret Ampang atas tuduhan membunuh isterinya, Fazlina Ahmad, yang ditemui dalam almari pakaian di rumah dua tingkat di Taman Pinggiran Ukay, 30 Disember tahun lalu.

Fazlina Ahmad, 39, ditemui terperosok dalam almari pa kaian di rumahnya dengan mulut dan hidung ibu dua anak itu ditampal pita pelekat lalu disembunyikan dalam almari.

3 Februari 2010
Wanita berusia 50 tahun, Sulastari, ditemui mati di Kam pung Selayang Indah, Selangor selepas dijerut sekuat hati oleh perompak menggunakan langsir rumahnya.

Kematian mangsa hanya disedari selepas mayatnya ditemui suaminya yang baru pulang daripada bekerja di Pasar Borong Selayang. Ketika ditemui, mayat mangsa tertiarap dengan kedua-dua kaki dan tangan diikat di rumah sewa mereka di kampung itu.

22 Mac 2010
Penjaga stor ke tali gantung selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati dia membunuh teman wanitanya meng gunakan tudung wanita itu gara-gara tertekan apabila mangsa, Nurul Hazira Bharum, 26, mahu berkahwin dengan lelaki lain.

Tertuduh, Shahrul Nizam Mohd Shah, 38, mendakwa dia dan Nurul Hazira bercadang membunuh diri dan mendakwa mangsa memaksanya untuk minum racun. Laporan bedah siasat bagaimanapun mengesahkan punca kematian Nurul Hazira adalah kerana lemas akibat dicekik dan tiada kesan racun ditemui di dalam tubuh mangsa.

1 Mei 2010
Lelaki berusia 30-an diberkas polis selepas kenderaan dipandunya terbabas ketika dia cuba melarikan diri dalam kejadian di Nilai Spring, Negeri Sembilan, hingga terbong karnya penemuan mayat teman wanita lelaki itu.

Lelaki itu dipercayai menjerut wanita warga Indonesia berkenaan selepas bergaduh dengan mangsa di Bangi, Se langor dan mengaku membunuh wanita itu sebelum me mandu ke Nilai untuk membuang mayat wanita terbabit.

29 Julai 2010
Bekas peninju remaja Negeri Sembilan dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah membunuh wanita hamil lapan bulan dan suaminya di Taman Desa Anggerik, Senawang, tiga tahun lalu.

Mohamad Azli Azhari, 23, didakwa menyebabkan kematian Aniza Ayob, 24 dan suaminya, Syed Herie Azmi Syed Kassim, 25, dengan menggunakan pisau untuk menikam hingga menyebabkan kecederaan pada organ si mati pada 16 Jun 2007.

3 September 2010
Ustazah dan anak lelakinya berusia 10 tahun ditemui mati dengan kedua-dua tangan serta kaki diikat manakala muka mereka dibalut dengan kain sarung.
Norliza Ishak, 35, dan anaknya, Amirul Ayman Mohd Yusoff dipercayai dibunuh pada 2 September, namun hanya ditemui sehari selepas itu di kediaman mereka di Apartmen Seri Bandar, Taman Bandar, Port Dickson. Suaminya ketika itu berada di Mesir atas urusan perniagaan.

Suspek turut bertindak kejam dengan membuka air pan curan mandi sebelum menghempap mangsa menyebabkan mereka sukar bernafas dan meninggal dunia.

8 September 2010
Terdapat 34 kecederaan luaran termasuk pada bahagian kemaluan mayat Aaliyah Ayman Hussin Abdullah, 3, yang mati dipercayai akibat didera teman lelaki ibunya, seorang warga Sudan. Mohannad Taha Ismail, 25, dituduh membunuh Aaliyah di Kondominum Venice Hill di Cheras pada 12 Oktober 2009.

Pakar forensik mendapati kematian mangsa disebabkan perdarahan teruk di bahagian selaput keras otak akibat goncangan yang kuat. Ia merujuk kepada tindakan meng goncang dengan tekanan luar biasa akibat kemungkinan terlampau geram.

22 September 2010
Pemandu teksi, Mohd. Fazli Azri Jamil dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah membunuh kanak-kanak perem puan berumur tiga tahun, Syafiah Humaira Sahari pada 25 Februari lalu.

Tertuduh, seorang pemandu teksi yang juga teman lelaki kepada ibu Syafiah Humaira, Siti Nurhanim Aziz, 25, didakwa membunuh kanak-kanak itu dengan cara menendang dan memijak perut mangsa.

No comments:

Post a Comment