Wednesday, September 29, 2010

Penyamun Pura-Pura Nak Bersalin

Penyamun pura-pura sakit nak bersalin


2010/09/29

GERIK: Niat murni seorang doktor warga emas yang sanggup bangun tengah malam untuk membantu seorang wanita bersalin di kliniknya membawa kerugian mencecah RM150,000 apabila menjadi mangsa samun sekumpulan lima perompak termasuk dua wanita dalam kejadian di Jalan Tun Saban, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 pagi itu, Dr N Vankataslu, 69, sedang tidur di tingkat atas rumah kedai dua tingkat yang menempatkan kliniknya di tingkat bawah sebelum terjaga selepas mendapat panggilan kecemasan daripada seorang wanita yang mendakwa rakannya mahu bersalin.

Mangsa bergegas bangun lalu membuka pintu dan melihat seorang wanita dalam keadaan cemas berada di luar rumahnya, mendakwa rakannya yang sarat mengandung sudah mahu bersalin.


Tanpa berfikir panjang, mangsa yang juga Ketua MIC Bahagian Gerik, membuka pintu lalu turun ke tingkat bawah dan melihat seorang wanita ditemani tiga lelaki seperti dalam keadaan mengerang kesakitan.


Mangsa berpatah balik naik ke kediamannya untuk mengambil kunci pintu klinik dan pada masa sama, wanita yang meminta bantuannya berpura-pura mahu menumpang tandas rumahnya.


Timbalan Ketua Polis Gerik, Deputi Superitendan Wan Jamil Wan Chik, berkata tanpa disedari mangsa, wanita yang berpura-pura mahu bersalin serta tiga lelaki menemaninya, turut menyerbu masuk ke dalam rumahnya lalu mengikat tangan dan kaki mangsa serta menutup mulutnya dengan kain.


“Kelima-lima perompak menggeledah rumah mangsa sebelum melarikan seutas rantai, tiga cincin emas dan wang simpanan RM50,000.


“Semua suspek dipercayai melarikan diri menggunakan sebuah kereta dan kerugian dialami mangsa dianggarkan RM150,000.


“Mangsa mengambil masa kira-kira 45 minit untuk membuka kain di mulutnya sebelum meminta pertolongan jiran yang membantu membuka ikatan pada kaki dan tangannya. Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik kira-kira jam 2.15 pagi,” katanya.


Menurutnya, polis sudah melancarkan gerakan memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment