Saturday, September 18, 2010

Awas Dekat Mesin ATM

Kerumun dan tukar
Oleh Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my
2010/09/18

KLUANG: Sekumpulan tiga lelaki termasuk warga asing dari Amerika Selatan menggunakan taktik ‘kerumun dan tukar’ bagi memperdaya pelanggan bank yang mengeluarkan wang dari ATM sebelum mencuri kad ATM dan mengeluarkan duit mangsa.

Taktik kumpulan itu ialah dengan berkumpul dekat pelanggan yang sedang mengeluarkan wang di ATM sebelum mengalihkan perhatian lalu menukar kad ATM mangsa dengan kad palsu.

Hingga kini, enam kes dilaporkan apabila mangsa mendapati kad ATM milik mereka tidak boleh digunakan sedangkan wang di dalam akaun hilang.


Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Fawzi Arshad berkata, modus operandi kumpulan berkenaan ialah mereka berkumpul berhampiran mangsa dengan seorang daripada mereka menghafal nombor pin mangsa.


“Mereka bertindak ketika mangsa menunggu wang keluar dari mesin, biasanya sejumlah wang dijatuhkan sebelum seorang daripada kumpulan berkenaan menepuk bahu mangsa.


“Ketika perhatian mangsa dipesongkan, seorang daripada mereka menukar kad ATM mangsa dan berpura-pura ke mesin ATM lain sambil menunggu mangsa keluar dari premis berkenaan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.


Katanya, sebaik mangsa meninggalkan premis bersama kad ATM palsu, tiga penjenayah berkenaan menggunakan kad ATM mangsa untuk mengeluarkan wang.


Menurutnya, hasil siasatan mangsa mengenal pasti seorang penjenayah itu berasal dari Amerika Selatan, manakala dua rakannya dipercayai penduduk tempatan.


Fawzi berkata, hasil pemeriksaan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pihaknya sudah mengenal pasti tiga penjenayah berkenaan dan usaha mengesan mereka giat dilakukan.


Berikutan itu, katanya, orang ramai yang mengeluarkan wang menerusi ATM diminta berhati-hati dan sebaik-baiknya membawa seseorang untuk menemani mereka.

No comments:

Post a Comment