Sunday, June 10, 2012

wanita yang tertipu

Wanita juga terpedaya


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR: Kes wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) habis dalam tempoh singkat bukan hanya berlaku kepada pesara lelaki, malah turut membabitkan wanita.
Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Koid Swee Lian berkata, ada pelanggan wanita mengadu terjebak dalam cinta lelaki kasanova yang mengikis wang mereka hingga diisytiharkan muflis.

“Tidak kurang juga yang tertipu apabila melabur dalam skim cepat kaya dan mengalami kerugian besar apabila pelaburan mengalami kegagalan,” katanya kepada Metro Ahad.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai trend mereka yang mendapatkan khidmat percuma daripada agensi itu dalam usaha mengamalkan perbelanjaan berhemah.

Dalam satu kes lain, Koid berkata, seorang pesara mencagar banglo mewahnya kepada bank semata-mata hendak mengadakan majlis kahwin anak secara besar-besaran hingga menyebabkan rumahnya tergadai.

“Hutang lain pula keliling pinggang. Kes seperti ini perlu dijadikan iktibar oleh orang ramai. Untuk itu, pesara harus berhati-hati kerana kesan buruk akibat perbelanjaan yang tidak berhemah akhirnya mengundang petaka kepada diri sendiri.

“Selain itu, ubah gaya hidup dan tidak mengambil pinjaman baru atau bebaskan daripada hutang dan jangan melabur dalam instrumen pelaburan berisiko tinggi,” katanya.

Menurutnya, tempoh persaraan bukannya pendek kerana purata jangka hayat wanita di negara ini ialah 75 tahun, manakala lelaki 70 tahun.
Koid berkata, sepanjang kajian dilakukan agensi berkenaan, kesedaran golongan dewasa mendapatkan kaunseling dan mengikuti Program Pengurusan Kredit (DMP) masih rendah bagi tempoh September 2011 hingga Mac 2012.

“Jumlah paling tinggi dicatat pada Oktober 2011 membabitkan 3,253 individu menerima kaunseling manakala 1,415 mengikuti DMP,” katanya.

Mengenai tahap usia mereka yang mendapatkan khidmat nasihat pula, Koid berkata, kebanyakan pelanggan ke AKPK untuk mendapatkan perkhidmatan adalah daripada semua lapisan masyarakat dan pelbagai usia.

Namun, katanya, 14.9 peratus golongan dewasa berusia 40 tahun ke atas mendapatkan khidmat AKPK dan meliputi pelbagai sektor pekerjaan mungkin kerana pada usia itu adalah ‘fasa’ yang dianggap paling mencabar dan banyak tekanan berkaitan kewangan.

No comments:

Post a Comment