Wednesday, June 6, 2012

lesap 20 ribu

RM20,000 dalam akaun lesap
Wartawan Sinar Harian
6 Jun 2012
Pengerusi Persatuan Pengguna Daerah Kulim, Mohd Zailan Hashim
Pengerusi Persatuan Pengguna Daerah Kulim, Mohd Zailan Hashim
KULIM - Seorang anggota polis, di sini terkejut apabila wang simpanan dalam akaun banknya lesap.

Mangsa yang enggan namanya disiarkan berkata, dia telah membuat pinjaman peribadi sebanyak RM50,000.

Menurutnya, namun memandangkan dia masih mempunyai baki pinjaman lalu di bank sama sebanyak RM30,000, dia hanya mendapat kelulusan pinjaman baru berjumlah RM20,000.

Dalam perjanjian dibuat bersama bank terlibat, mangsa dikehendaki membayar semula ansuran pinjaman RM50,000 dibuat secara potongan gaji sebanyak RM500 sebulan selama 15 tahun.

Mangsa berkata, namun menjadi masalah, apabila wang pinjaman yang disimpan dalam bank itu telah tiada dan pihak bank terbabit bersikap lepas tangan serta enggan mendengar penjelasan dibuatnya.

"Saya telah berjumpa dengan pegawai pejabat bank itu, tetapi pihak bank tidak dapat memberikan penjelasan terhadap kehilangan wang saya. Saya telah bertanya pegawai bank di Kuala Lumpur berkenaan masalah yang saya hadapi.

"Saya dimaklumkan wang saya telah dipindahkan ke akaun lain secara 'on-line'. Saya berasa curiga dengan kenyataan dibuat kerana sekiranya wang dalam akaun saya dipindahkan secara on-line, pastinya mereka boleh mengesan ke akaun mana duit simpanan saya itu dipindahkan. Pegawai bank itu juga ada menyebut beberapa nama, tetapi saya tidak mengenali mereka," katanya.

Kecewa layanan diberi, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kulim dan pergi ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan penjelasan.

Menurutnya, dia percaya nama tersebut ada kaitan dengan pemindahan wang dalam akaunnya itu.

Katanya, namun apabila dia meminta pegawai itu menerangkan lebih lanjut berkenaan nama yang disebut, pegawai terlibat cuba mengelak.

"Saya sudah bertanya kepada pegawai penyiasat yang mengendalikan kes saya ini, malangnya bank masih tidak menghantarkan beberapa dokumen dikehendaki untuk tujuan siasatan. Saya beranggapan masalah kehilangan wang dalam akaun saya itu pastinya melibatkan pegawai bank itu sendiri,” katanya.

Pengerusi Persatuan Pengguna Daerah Kulim, Mohd Zailan Hashim berkata, penipuan yang melibatkan institusi kewangan semakin menjadi-jadi dan semakin ramai pengguna menjadi mangsa.

Menurutnya, ada kalangan mereka diisytiharkan muflis semata-mata terpaksa membayar semula pinjaman yang tidak pernah dimohon.

“Saya meminta mangsa terlibat untuk tampil membuat laporan polis dan berjumpa dengan saya. Saya lihat permasalahan kehilangan wang dari akaun pengguna semakin menjadi-jadi dan ini akan menyusahkan peminjam.

"Cuba bayangkan bank memotong gaji si peminjam setiap bulan selama 15 tahun, sedangkan mangsa terpaksa menanggung kerugian kerana wang di dalam akaunnya digelapkan. Saya meminta Bank Negara supaya menyiasat permasalahan ini dengan lebih serius," katanya.

Mohd Zailan berkata, dia percaya ada dalang disebalik penipuan tersebut dan berharap sekiranya perkara itu gagal diselesaikan pihak bank, ia harus dipanjangkan kepada Kementerian Kewangan.

Menurutnya, pihaknya telah menghantar surat kepada kementerian terlibat dan meminta kerajaan mengambil serius berkenaan penipuan seumpamanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, kes itu akan disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial dan meminta mangsa bersabar.

Katanya, polis telah menghubungi bank terlibat dan meminta pihak berkenaan menyerahkan beberapa dokumen diperlukan bagi membantu siasatan.

"Masalah seumpama itu berlaku di beberapa bank dan sehingga kini polis telah menerima lebih tiga laporan permasalahan melibatkan syarikat kewangan terutama bank.

"Selain kehilangan wang dalam akaun, polis turut menerima laporan dimana mereka yang tidak mempunyai kad kredit terpaksa menanggung hutang setelah dikatakan memiliki kad itu," katanya.

No comments:

Post a Comment