Sunday, May 8, 2011

Gores Dan Menang Lagi Tak Habis2

Helah gores dan menang

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR


ORANG ramai harus berwaspada dengan tipu daya pihak tertentu yang menjalankan kegiatan gores dan menang yang akhirnya akan menyebabkan pengguna mengalami kerugian. - GAMBAR HIASAN

WALAUPUN telah berulang kali diberi amaran dan peringatan melalui pelbagai cara termasuk melalui media, kes-kes melibatkan penipuan sindiket Gores dan Menang masih kerap didengar.

Adakah mereka tidak pernah membaca akhbar atau mata mereka telah dikaburi setelah 'digula-gulakan' dengan hadiah lumayan? Hanya mangsa yang dapat menjawabnya.

Nasib yang sama turut menimpa seorang kakitangan syarikat swasta pada awal tahun ini. Kisahnya bermula ketika pemuda itu sedang asyik berjalan menuju ke KL Sentral pada satu petang, 19 Januari lalu, dia didatangi oleh seorang ejen syarikat Gores dan Menang.

Modus operandinya sama sahaja, mangsa disuruh menggores sebuah kad. Ejen tersebut kemudian memberitahu bahawa mangsa baharu sahaja memenangi hadiah.

Namun untuk membawa pulang hadiah tersebut, ada syaratnya. Mangsa perlu membayar cukai sebanyak RM7,600. Selain itu, mangsa berpeluang memenangi hadiah utama pada cabutan kad lain.

Teruja dengan hadiah yang bakal dimenangi, lelaki itu pun pergi ke pejabat syarikat tersebut. Di situ, seorang pekerja syarikat itu menyuruh mangsa membayar keseluruhan jumlah cukai tersebut.

Oleh kerana tidak mempunyai wang yang mencukupi, dia dibenarkan membayar sebahagian sahaja iaitu sebanyak RM3,400.

Pemuda itu kemudian diberikan sebuah mesin jahit dan sebuah tilam. Menurut pekerja tersebut, barang-barang itu merupakan hadiah utama seperti yang dikatakan dalam kad gores terbabit.

Dengan susah payah, dia kemudian pulang ke rumah dengan membawa barang-barang tersebut yang sebenarnya boleh dibeli pada harga tidak sampai beribu-ribu ringgit.

Lelaki itu mula menyedari hal yang sebenarnya apabila rakan serumahnya mengatakan dia telah diperdaya. Ketika itu barulah diketahuinya dia telah ditipu oleh syarikat terbabit.

Lantas keesokan harinya, dia pergi semula ke pejabat syarikat tersebut yang terletak di Plaza Danau, Setapak di ibu negara.

Hasrat hati untuk menuntut semula wangnya tetapi pekerja syarikat terbabit enggan memberikannya. Dengan alasan, pemuda itu telah menandatangani borang perjanjian.

Merasakan dirinya telah diperdaya, mangsa telah membawa kes itu ke Tuntutan Tribunal Pengguna Malaysia (TTPM) yang terletak di The Mall di ibu negara.

TTPM yang bersidang pada pertengahan bulan ini kemudian mengarahkan syarikat terbabit membayar RM3,400 kepada mangsa, Ting Kee Bienn, 25.

Presiden TTPM, Faridah Abrahim, memutuskan demikian selepas tiada wakil daripada syarikat terbabit hadir ke prosiding tuntutan berkenaan.

Dengan ketetapan sedemikian, Kee Bienn merasa puas walaupun episod dukanya masih belum berakhir kerana wang tuntutan masih belum diperoleh.

Namun jauh di sudut hatinya, dia berjanji tidak akan sekali-kali diperdayakan lagi oleh goresan yang hanya menyebabkan wangnya dengan mudah melayang.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment