Sunday, May 15, 2011

Bermula Dengan Tokek


Penculik rakyat Malaysia tuntut RM5.6j

Oleh WAN NORHAYATI WAN ALIAS
pengarang@utusan.com.my


Isteri Nazarudin, Mazlina Mohamad bersama anaknya, Nur Athirah di Kampung Merbau Sempak, Sungai Buloh, malam tadi. - MINGGUAN/MOHD NAIM AZIZ

KUALA LUMPUR 14 Mei - Isteri ahli perniagaan Malaysia, Mohd. Nazarudin Saidin, 38, yang diculik di Pulau Jolo, Filipina mendedahkan kumpulan penculik berkenaan telah menuntut wang tebusan sebanyak 80 juta Peso (RM5.6 juta) sebagai syarat pembebasan suaminya.

Mazlina Mohamad, 38, memberitahu, jumlah wang tebusan itu dimaklumkan oleh kumpulan penculik kepada "orang tengah" yang juga salah seorang ejen broker cicak tokek di Malaysia.

Katanya, kumpulan itu pada Khamis lalu turut memberi syarat agar dia membayar sejumlah 5 juta Peso (RM348,317) sebagai "pendahuluan" bagi wang tebusan itu selewat-lewatnya lusa (Isnin ini).

Bagaimanapun, ujarnya, syarat pembayaran mesti melalui orang paling rapat dan dipercayai iaitu salah seorang broker cicak tokek terbabit.

"Apa yang membimbangkan ialah ada pihak tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan dengan komplot penculikan ini.

"Saya pula tidak pernah berpeluang untuk mendengar sendiri suara suami kerana kumpulan penculik itu menghubungi terus salah seorang ejen berkenaan.

"Sebelum ini saya dimaklumkan oleh ejen broker cicak tokek itu supaya jangan laporkan kepada polis tentang perkara itu dan menyerahkan kepada mereka untuk mengumpul dana sebelum membayar wang tebusan itu sendiri kepada penculik berkenaan," katanya.

Ibu kepada enam anak itu berkata demikian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Merbau Sempah, Sungai Buloh dekat sini hari ini.

Mazlina yang menampung kehidupan dengan menjual kuih tidak menyangka kejadian seperti itu menimpa keluarganya.

Ketika tinjauan wartawan Mingguan Malaysia ke rumahnya, salah seorang ejen berkenaan kebetulan datang berkunjung untuk menguruskan sesuatu dengan Mazlina.

Bagaimanapun, terkejut dengan kehadiran wartawan, ejen berkenaan kemudiannya bergegas menaiki semula kenderaan yang turut dinaiki dua lelaki sebelum beredar dari situ.

Menurut Mazlina, suaminya telah berlepas ke Pulau Jolo pada 27 April lalu bersama seorang lelaki warga Filipina yang juga merupakan salah seorang ejen cicak tokek dan pemergian ke negara itu difahamkan atas urusan perniagaan berkaitan reptilia tersebut.

"Dia (suami) kali terakhir menghubungi anak saya untuk bertanya khabar pada 6 Mei lalu. Saya hanya mengetahui suami saya diculik selepas menonton berita di televisyen pada 10 Mei lalu.

Sementara itu, Kementerian Luar mengesahkan Nazarudin kini ditahan oleh kumpulan Abu Sayyaf.

Pegawai dari Konsulat Jeneral Malaysia di Davao City, Mindanao, Mohammad Azhar Mazlan memberitahu, Polis Kebangsaan Filipina (PNP) mengesahkan Nazarudin kini dalam tahanan kumpulan tersebut.

"Berikutan itu, kementerian akan terus bekerjasama dengan pihak PNP dalam usaha memastikan Nazarudin dibebaskan dengan secepat mungkin," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Di KUALA KUBU BARU, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima maklumat berhubung penahanan peniaga Malaysia itu yang dilaporkan diculik oleh 10 lelaki bersenjata.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, berikutan maklumat itu, rundingan sedang diadakan antara PDRM dan pihak berkuasa negara tersebut bagi membincangkan tentang keselamatan mangsa.

"Buat masa ini, kita sedang berunding dengan pihak autoriti di negara itu dan tindakan susulan akan diambil bagi memastikan keselamatan mangsa tidak terjejas," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan latihan asas kepolisan untuk bekas tentera di Maktab PDRM Kuala Kubu Baru.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment