Wednesday, April 13, 2011

Tipu Kad Kredit

Sindiket tipu kad kredit tumpas, 13 ditahan

Ammar Singh Ishar Singh menunjukkan kad kredit palsu yang dirampas di Cheras, semalam. - UTUSAN/Baizura Ramli

KUALA LUMPUR 12 April - Polis menumpaskan sindiket penipuan kad kredit melibatkan kerugian mencecah RM1 juta setelah menahan 13 ahli sindiket termasuk tujuh daripadanya posmen dan seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dalam operasi bermula 1 April hingga Sabtu lalu.

Sindiket yang dikesan beroperasi sejak 2009 terbongkar apabila seorang wanita membuat satu laporan kerana surat mengandungi kad kreditnya cuba dicuri seorang lelaki tidak dikenali di Pejabat Pos Taman Shamelin, Cheras, pada 1 April lalu.

Mangsa sebelum itu telah dihubungi pihak pejabat pos terbabit yang curiga dengan tindakan seorang lelaki menggunakan kad pengenalan palsu atas namanya untuk menuntut surat tersebut.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Ammar Singh Ishar Singh berkata, suspek lelaki yang berusia 37 tahun itu berjaya diberkas di pejabat pos tersebut sejurus maklumat diterima.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas kereta suspek, polis menjumpai 10 keping kad kredit daripada pelbagai bank yang dipercayai palsu.

"Kejayaan itu membawa kepada penahanan 12 lagi suspek termasuk tiga wanita berusia 25 hingga 40 tahun di sekitar Lembah Klang.

"Polis turut merampas 11 sampul surat mengandungi kad kredit yang telah dipintas, sebuah kereta Toyota Alphard dan 19 telefon bimbit pelbagai jenama," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini, hari ini.

Ammar Singh memberitahu, modus operandi sindiket itu menggunakan posmen bagi mencuri kad kredit dikirim oleh pihak bank kepada penerima.

"Mereka mengambil cip kad kredit asal itu dan dilekatkan pada kad kredit palsu. Cip palsu pula dilekatkan pada kad kredit asal sebelum dikirim semula ke alamat pemilik.

"Upah RM50 sehingga RM100 diberi kepada posmen itu bagi setiap cip kad kredit yang berjaya dipintas," katanya lagi.

Menurutnya, pihak sindiket pula akan mendapat maklumat nama ibu pemilik asal daripada pegawai JPN, iaitu kata laluan dikenakan pihak bank untuk mengaktifkan cip kad kredit itu.

"Sebanyak 11 kertas siasatan dibuka hasil aduan pihak bank dan kes terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya sambil memberitahu polis sedang bekerjasama dengan pihak bank supaya kejadian seperti ini tidak berulang.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment