Friday, April 29, 2011

Dua Kali Samun Kena Tangkap

Dua penjenayah ditahan selepas samun dua mangsa

JOHOR BAHRU 28 April – Sekumpulan enam penjenayah tidak sempat menikmati hasil samun apabila dua daripadanya ditahan bersama barangan yang disamun, di Jalan Sri Lanang, di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, dalam kejadian pukul 1.30 pagi itu, kesemua suspek yang bersenjatakan parang menyamun seorang wanita dan lelaki di jalan tersebut dan merampas barang berharga milik mangsa sebelum melarikan diri.

Beliau berkata, seorang lelaki yang kebetulan melalui jalan itu memberi bantuan kepada mangsa dengan menghubungi pihak polis.

“Hasil daripada maklumat itu, dua daripada enam suspek berjaya ditahan oleh unit peronda polis di Jalan Lingkaran Dalam beberapa minit selepas kejadian, ketika sedang menunggang motosikal,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di sini semalam.

Zainuddin berkata, pemeriksaan terhadap kedua-dua lelaki itu menemui kad pengenalan mangsa, tiga kad bank dan telefon bimbit.

Beliau berkata, salah seorang daripada dua lelaki itu mempunyai rekod memiliki dadah dan polis kini sedang menggiatkan usaha untuk mengesan empat lagi rakan mereka yang masih bebas berkenaan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

No comments:

Post a Comment