Friday, April 29, 2011

Edar Dadah Bawa Padah

Suami isteri didakwa edar dadah

SUNAIDI Ismail (kiri) dan Nuur Muhaimi Yahya hadir menghadapi pertuduhan mengedar dadah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU 28 April - Sepasang suami isteri berhadapan dengan hukuman di tali gantung setelah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine dan heroin, pertengahan bulan ini.

Sunaidi Ismail, 33, dan isteri, Nuur Muhaimi Yahya, 25, didakwa secara bersama mengedar 80 gram methamphetamine ketika berada dalam kereta Proton Waja dengan nombor pendaftaran AFL 4630 di Kampung Durian Kassim, Ajil, Hulu Terengganu, pada pukul 1 pagi, 17 April lalu.

Mereka juga didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 46.2 gram pada pukul 1.30 pagi, pada hari dan tempat yang sama.

Bagi kedua-dua perbuatan tersebut, pasangan itu didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pasangan yang belum mempunyai anak itu juga menghadapi tuduhan ketiga iaitu didakwa memiliki heroin seberat 4.2 gram pada pukul 1 pagi, pada hari dan tempat yang sama.

Bagi tuduhan tersebut, mereka didakwa di bawah Seksyen 12(2) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya.

Sunaidi dan Nuur Muhaimi hanya mengangguk faham apabila ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Faraziana Zainuddin. Tiada pengakuan direkodkan.

Timbalan Pendakwa Raya, Masriwani Mahmud tidak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh-tertuduh kerana pertuduhan yang dihadapi mereka membawa hukuman mati.

Majistret menetapkan 20 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia.

Akhbar sebelum ini melaporkan mengenai penangkapan seorang wanita bersama suaminya di Kampung Durian Kasim, Ajil, Hulu Terengganu bagi membantu siasatan berhubung satu kes penderaan anak angkatnya pada 2008.

Ketika ditahan, polis turut menemui sebanyak 1,000 biji pil kuda dan 10 botol heroin bernilai RM30,000 di dalam kereta mereka.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment