Monday, April 8, 2013

rawatan terlampau

Penagih maut dipercayai dipukul

Di bilik inilah Mohd. Ilias Ibrahim dipercayai dipukul hingga meragut nyawanya di sebuah pusat rawatan pemulihan dadah di Kampung Lambor, Tumpat, Kelantan, kelmarin. - UTUSAN/ Zuharman Mohammad Nor
TUMPAT 7 April - Seorang pemuda maut dipercayai dipukul semasa menjalani rawatan pemulihan di sebuah pusat rawatan dadah tradisional di Kampung Lambor dekat sini malam tadi.
Mangsa, Mohd. Ilias Ibrahim, 27, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Tumpat pada pukul 8 malam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, mangsa dikejarkan ke hospital oleh pihak pengurusan pusat rawatan itu selepas tidak sedarkan diri ketika sedang menjalani rawatan pemulihan bersama penghuni yang lain.
Beliau berkata, polis yang menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 8.30 malam selepas pihak hospital membuat laporan bagaimanapun curiga dengan kematian mangsa kerana ada kesan lebam di beberapa bahagian badannya.
"Hasil bedah siasat mendapati mangsa yang berasal dari Pasir Mas, mati akibat dipukul dan terdapat kesan kecederaan di beberapa bahagian badan seperti di belakang badan, lengan dan kepala.
"Sehubungan itu, kematian mangsa disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman mati jika disabitkan kesalahan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan tiada tangkapan dilakukan setakat ini.
Sementara itu, pengasas pusat rawatan tersebut, Mohd. Zain Abu Bakar, 72, berkata, dia mengetahui kejadian itu kira-kira pukul 7 malam selepas seorang penghuni pondok terbabit memaklumkan mangsa tidak sedarkan diri kerana dikatakan terjatuh dalam bilik air.
Katanya, dia segera mengarahkan beberapa penghuni dan pihak pengurusan mengangkat mangsa ke dalam kenderaan untuk dibawa ke hospital
"Saya lihat mangsa mengalami kecederaan lebam di belakang badan, bengkak di kepala dan lengan serta dimaklumkan mangsa pernah menghentak kepala ke dinding sebelum terjatuh dua kali.
"Sebelum kejadian, mangsa pernah mengadu kepada saya mahu pulang ke rumah kerana tidak selesa berada di pusat rawatan ini dan saya sungguh terkilan dengan peristiwa tersebut," katanya.
Katanya, sepanjang 14 tahun dia mengasas pusat rawatan berkenaan, tidak pernah berlaku kejadian seumpama itu.

No comments:

Post a Comment