Friday, April 12, 2013

ditipu

Ibu tunggal rugi hampir RM30,000 ditipu lelaki ajak berniaga

10 April 2013
PETALING JAYA - Seorang ibu tunggal di Muar, Johor mendakwa kerugian hampir RM30,000 apabila ditipu seorang lelaki yang kononnya ingin menjalankan perniagaan bersamanya.

Mangsa yang dikenali sebagai Fatimah, 42, berkata beliau berkenalan dengan lelaki yang dikenali sebagai Ally, 35, itu dalam satu program di Melaka pada 2011.

Fatimah yang juga seorang penjawat awam di Melaka berkata selepas beberapa bulan berkenalan, lelaki tersebut menawarkan peluang untuk menjana pendapatan sebelum Fatimah melaburkan sebanyak RM12,000.

"Beliau menawarkan membuat perniagaan membekalkan komputer riba dan minta saya keluarkan modal RM12,000 dan berjanji akan memulangkan kembali duit saya beserta keuntungan RM20,000," katanya pada sidang media di pejabat Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia, dekat sini hari ini.

Katanya selepas pemberian RM12,000 itu, beliau telah beberapa kali memberikan wang kepada lelaki itu kononnya untuk menyelesaikan masalah berkaitan perniagaan.

Ibu kepada dua orang anak itu menyedari ditipu pada penghujung tahun lepas apabila lelaki tersebut sukar untuk dihubungi malah beliau pernah dihamburkan dengan kata-kata kesat kerana asyik menghubunginya.

"Bulan Mac baru-baru ini saya telah ke rumahnya dan memberitahu isterinya tentang penipuan tersebut, hal itu menyebabkan beliau berang dan mengugut untuk melakukan sesuatu yang buruk," katanya yang kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin, Melaka.

Sementara itu, Presiden Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia, Prof Datuk Seri Saharuddin Awang Yahya berkata, sebanyak empat aduan diterima pihaknya mengenai penipuan terhadap individu yang sama membabitkan kerugian sehingga RM50,000.

Beliau berkata, daripada aduan yang diterima kebanyakan mangsa adalah rakan atau saudara yang memang dikenali lelaki terbabit.

"Saya meminta sesiapa yang merasakan ditipu oleh individu yang sama atau menjadi mangsa tipu dalam pelaburan supaya menghubungi pejabat saya di talian 03-5622 5717," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment