Monday, April 8, 2013

kempunan hasil samun

Kempunan nikmati hasil samun, jatuh bumbung ketika cuba melarikan diri

TINDAKAN seorang perompak mahu melarikan diri melalui bumbung rumah setelah memecah masuk sebuah rumah di Subang Jaya, semalam, sempat dirakam.
KUALA LUMPUR 7 April - Hasrat dua lelaki untuk menikmati hasil samun dari sebuah rumah teras di Jalan SS 17/3C, Subang Jaya dekat sini semalam, tidak kesampaian setelah mereka terjatuh dari bumbung dan berjaya ditahan polis semasa cuba melarikan diri.
Dalam kejadian pukul 11 pagi itu, kedua-dua penjenayah terbabit sudah bersedia untuk melarikan diri dari rumah itu semasa penghuninya keluar bekerja apabila dikepung polis.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, sepasukan anggota polis peronda bergegas pergi ke rumah teras dua tingkat itu selepas dihubungi oleh adik ipar kepada pemilik rumah yang melaporkan kejadian samun tersebut.
Beliau berkata, tindakan pantas polis tiba di lokasi kejadian sebelum suspek sempat melarikan diri menyebabkan dua penjenayah itu panik lalu memanjat bumbung rumah untuk meloloskan diri.
Katanya, perbuatan mereka bagaimanapun mengundang padah apabila mereka terjatuh dan berjaya dicekup oleh polis.
"Semasa kejadian, pemilik rumah tiada di kediamannya kerana mempunyai urusan kerja di Klang dekat sini, manakala adik ipar bersama dua anak yang turut tinggal di rumah tersebut pula keluar ke kedai berhampiran untuk membeli barang.
"Apabila pulang, adik ipar mangsa terkejut mendapati sebuah kereta Wolkswagen Golf yang tidak dikenali berada di hadapan rumah manakala keadaan dalam kediaman itu berselerak lalu menghubungi polis," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, sebaik sahaja menerima panggilan daripada pengadu, sepasukan anggota polis segera pergi ke rumah tersebut dan berjaya memberkas suspek setelah mereka terjatuh dari bumbung bersama barang-barang yang dicuri.
Beliau berkata, pihaknya percaya ada seorang rakan suspek menunggu dalam kereta semasa kejadian tetapi sempat melarikan diri.
Katanya, hasil pemeriksaan, polis menemui semula barang-barang yang dicuri dari rumah mangsa iaitu wang tunai RM5,000, barang kemas dan telefon bimbit yang dianggar bernilai RM20,000.
"Siasatan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes pecah rumah," katanya.

No comments:

Post a Comment