Monday, March 12, 2012

tumpaskan geng curi

Tumpas ditangan mangsa sendiri
Wartawan Sinar Harian
11 Mac 2012
Tumpas ditangan mangsa sendiri
BATU PAHAT – Aktif mencuri dan licik melepaskan diri bersama habuan. Namun, selicik mana sekalipun, ianya pasti akan terbongkar jua akhirnya.

Itu yang berlaku kepada Geng Warek yang bergiat aktif mencuri kenderaan, akhirnya tersungkur juga di tangan mangsanya sendiri.

Kejadian bermula apabila ketua kumpulan terbabit yang mengumpil dan melarikan motosikal jenis Honda EX5 di kawasan parkir di premis snuker, Ayer Hitam, pada jam 1.40 pagi, 26 Februari lalu, disedari mangsa melalui tayangan kamera litar tertutup (CCTV).

Mangsa yang juga pekerja premis snuker bersama rakan dan pelanggan kemudiannya bertindak mengejar suspek terbabit dengan menaiki kereta.

Kira-kira 10 minit kemudian, suspek berkenaan berjaya ditangkap di Kilometer 77.2, Lebuhraya Utara-Selatan, berdekatan Machap dan Ayer Hitam menghala ke selatan.

Mereka kemudiannya menghubungi polis dan hasil pemeriksaan, polis menemui allen key yang diasah tajam, spanar, pemutar skru dan pisau lipat.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asistan Komisioner Din Ahmad berkata, dengan penahanan suspek itu, ia seterusnya membantu polis dengan menahan lima lagi Geng Warek di lokasi berlainan iaitu di Rengit, Benut, Simpang Renggam dan Kota Tinggi.

Katanya, enam suspek itu berusia antara 25 hingga 46 tahun didapati aktif melakukan jenayah curi kenderaan terutamanya motosikal dan lori di sekitar Ayer Hitam, Kulai dan Simpang Renggam sejak Ogos tahun lalu.

“Polis turut merampas empat lori jenis Ford dan Super Delta Daihatsu dengan nombor pendaftaran palsu atau nombor casis diganggu; dua kepala lori jenis Ford dan Daihatsu; enjin lori dan peralatan mencuri kenderaan.

“Kami yakin, sekurang-kurangnya tujuh kes kecurian kenderaan dapat diselesaikan menerusi kejayaan menumpaskan Geng Warek dan suspek masih ditahan di Kluang berhubung kes curi kenderaan di Simpang Renggam," katanya kepada Sinar Harian.

Din berkata, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika disabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment