Sunday, January 8, 2012

penjahat dalam bas

Ditetak dalam bas ekspres
MOHD TAHA YAACOB
January 8, 2012
ditetak
JERTIH - Seorang lelaki tidak dapat melupakan peristiwa menakutkan apabila dia ditetak seorang penjenayah dalam bas ekspres ketika dalam perjalanan dari Machang, Kelantan ke Jertih minggu lalu.

Dalam kejadian kira-kira 5.10 pagi itu, bahu kiri mangsa yang hanya mahu dikenal sebagai Saiful luka sepanjang beberapa sentimeter akibat ditetak dengan sebilah pisau pemotong daging oleh lelaki tidak dikenalinya.

Bagaimanapun, dia bernasib baik kerana memakai baju sebanyak dua lapis sementara tangan penjenayah dikatakan tersekat pada kerusi bas menyebabkan kecederaan dialaminya tidak parah.

“Saya tidak akan melupakan kejadian itu sampai bila-bila, hanya Tuhan yang melindungi saya ketika itu.

“Jika tidak, tetakan itu pasti terkena kepala saya dan sudah tentu saya berdepan risiko kematian,” katanya yang menerima empat jahitan akibat kecederaan tersebut.

Saiful berkata, pada malam Isnin lalu, dia bersama seorang rakannya menaiki bas ekspres tambahan dari Hentian Bas Putra, Kuala Lumpur untuk pulang ke rumah ibu bapanya di sebuah taman perumahan di Kampung Padang Luas.


Sub-head: Hanya sedar bahu cedera ketika turun bas

Menurutnya, apabila tiba di Machang dia dikehendaki bertukar bas ekspres lain untuk ke Jertih berikutan bas pertama yang dinaiki akan menuju ke Pasir Mas, Kelantan.

“Saya dipindahkan menaiki sebuah bas ekspres yang ditetapkan manakala rakan saya menaiki bas pertama ke Pasir Mas.

“Saya mengambil kerusi kedua terakhir dan ketika itu penumpang tidak ramai manakala suspek duduk di kerusi belakang saya,” katanya.

Saiful berkata, tiba-tiba lelaki tersebut menendang kerusinya menyebabkan dia bertanya mengapa lelaki itu bertindak demikian.

Lelaki itu hanya berdiam diri dan selang tidak lama kemudian dia sekali lagi menendang kerusi Saiful malah lebih kuat berbanding sebelum itu.

“Apabila dia melakukan kali kedua saya bertanya kepadanya mengapa melakukan demikian sedangkan saya tidak berbuat apa-apa malah kerusi tempat duduk saya tidak dibaringkan ke arahnya.

“Sebaik saya marahkannya dia kata kepada saya ‘nak parang’,” katanya yang sama sekali tindak menyangka suspek ingin mencederakannya,” katanya.

Saiful kemudiannya berpindah ke tempat duduk lain selang beberapa kerusi di bahagian depan dan ketika bangun dia ternampak suspek seolah-olah mencari sesuatu di dalam begnya.

Sebaik dia duduk di kerusi suspek datang ke arah dan melibas bahunya dan Saiful melawan dengan menolak suspek sebelum suspek kembali ke kerusinya.

Namun, dia tidak menyedari suspek menetak bahunya sebaliknya menyangka dia hanya ditumbuk sahaja kerana ketika itu cahaya dalam bas samar-samar.

“Ketika saya hendak turun bas di tepi jalan berhampiran rumah saya, baru saya terasa pedih, berdarah, lenguh dan kemudian mendapati bahu saya cedera,” katanya mengenai kejadian yang berlaku di kawasan Wakaf Lichong, Pasir Putih.

Katanya, rupa-rupanya pisau yang digunakan suspek terlepas daripada tangannya selepas melibas Saiful dan disembunyi seorang penumpang wanita yang berada berdekatan.

Sebaik Saiful turun penumpang itu memberi pisau tersebut kepada wanita lain sebelum diserahkan kepada pemandu bas yang kemudiannya bertindak memberhentikan bas di Balai Polis Jertih dengan mengunci suspek di dalam kenderaan itu, suspek berumur 38 tahun itu kemudiannya berjaya ditahan.

Suspek yang berasal dari Keramat, Kuala Lumpur dikatakan Tahanan Buang Daerah (PCO) di Kampung Raja kerana masalah dadah selain mempunyai banyak rekod lampau termasuk samun.

Suspek kemudiannya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Putih untuk tindakan seterusnya.

No comments:

Post a Comment