Sunday, January 22, 2012

batu pindah dah kena curi

Baru pindah rugi RM100,000
Wartawan Sinar Harian
January 22, 2012
ditipu
SUBANG JAYA - Tiga bersaudara yang baru sahaja berpindah masuk ke sebuah rumah di SS14/6, di sini dua minggu lalu berputih mata apabila kediaman mereka dipecah masuk lima lelaki ketika upacara keagamaan sedang berlangsung, malam kelmarin.

Hasrat pasangan suami isteri dan seorang saudara mereka meraikan Tahun Baru Cina dengan penuh kegembiraan juga terpaksa dilupakan apabila penjenayah melarikan wang tunai dan barang berharga hampir RM100,000.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, ketika kejadian, mangsa bersama saudara serta isterinya bersembahyang di tingkat atas rumah berkenaan.

Bagaimanapun menurutnya, mangsa yang turun ke tingkat bawah terkejut sebaik mendapati seorang lelaki asing memakai topeng muka membawa sebilah parang.

“Terkejut dengan tetamu tidak diundang itu, mangsa kemudian bergegas memaklumkan kehadiran suspek.

“Mereka mengunci pintu bilik tempat bersembahyang untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Yahaya berkata, berang dengan tindakan mangsa, suspek bertindak memecah pintu bilik dan mengikat kedua-dua mangsa menggunakan tali kabel plastik sementara mengarahkan seorang lagi menunjukkan kedudukan barang berharga dan membuka pintu pagar bagi membolehkan rakannya yang lain masuk.

“Suspek pertama memecah masuk rumah mangsa dengan memanjat pintu pagar dan menjadikan pintu tidak berkunci sebagai sasarannya, mereka menggeledah rumah mangsa selama 20 minit dan melarikan diri dengan menaiki beberapa kenderaan,” katanya.

Beliau berkata, polis kini melancarkan gerakan memburu kelima-lima suspek yang mempunyai ketinggian antara 166 dan 170 sentimeter, empat suspek berbadan sederhana manakala seorang bertubuh gempal.
Berdasarkan rekod, kumpulan itu sudah terbabit dalam enam kes sama, tahun lalu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian atau mengenali salah seorang suspek yang gambarnya berjaya dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) digesa menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah Unit Siasatan Khas dan Jenayah Berat (D9) IPD Subang Jaya, Asisten Superintendan Rodney Pasla Haris di talian 016-8977664 atau Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Ismail Ahmad di talian 016-3499963.

No comments:

Post a Comment