Wednesday, January 11, 2012

akibat menyamar kerabat

Lelaki menyamar kerabat Johor dijel, sebat

KULAIJAYA 10 Jan. - Seorang lelaki dihukum penjara dua tahun dan sebatan empat kali oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua tuduhan menyamar sebagai kerabat diraja Johor bagi menipu mangsa untuk mendapatkan tanah kurniaan dan gelaran Datuk daripada Sultan Johor.

Asmadi Nordin, 49, yang bekerja sebagai ejen kutipan dana Kejohanan Badminton Piala Sultan-Sultan, didakwa melakukan kesalahan itu antara 7 Oktober dan 7 November tahun lalu, membabitkan kerugian RM38,000.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa memperdaya seorang lelaki berusia 48 tahun dengan mengaku sebagai kerabat diraja Johor bagi mendorong mangsa membayar RM8,000 bertujuan mendapatkan tanah kurnia daripada Sultan Johor dan sebagai hadiah sempena Hari Keputeraan Sultan Johor.

Kejadian didakwa berlaku antara 7 Oktober dan 7 November lalu di pejabat Myna Printing Sdn. Bhd., di Jalan Bintang, Taman Bintang, Senai dekat sini.

Bagi pertuduhan kedua, Asmadi didakwa mengaku sebagai kerabat diraja Johor menyebabkan pengadu membayar wang tunai berjumlah RM30,000 sebanyak tiga kali bagi mendapatkan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk daripada Sultan Johor pada 11 Oktober lalu di Kaunter Lembaga Tabung Haji, Jalan Ayer Molek, Johor Bahru.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Majistret Zaiton Anuar menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan dengan dua sebatan bagi setiap pertuduhan bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 26 November tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, A Karthiyayini manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang dilantik oleh sebuah persatuan bagi mengutip dana kejohanan itu menghubungi mangsa menerusi maklumat yang diperoleh hasil penyumbang dana sebelum mengaku sebagai kerabat diraja Johor dan mendakwa boleh membantu mendapatkan tanah kurnia serta darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk.

Mangsa yang juga pengurus besar sebuah syarikat percetakan kemudian menyerahkan cek berjumlah RM8,000 dan pindahan akaun untuk mendapatkan tanah kurnia selain wang berjumlah RM30,000 kepada tertuduh bagi tujuan mendapatkan gelaran Datuk.

No comments:

Post a Comment