Saturday, October 29, 2011

samun di lampu isyarat

Pecah dan samun di lampu isyarat menjadi-jadi

PETALING JAYA 28 Okt. - Kes pecah cermin kereta sebelum menyamun membabitkan pemandu wanita dikesan semakin menjadi-jadi di Lembah Klang sejak kebelakangan ini dengan tiga kes terbaru dilaporkan berlaku Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supritendan Meor Hamdan Meor Mohamad berkata, dalam ketiga-tiga kes itu, mangsa dilaporkan disamun oleh dua lelaki menaiki sebuah motosikal semasa berhenti di lampu isyarat dan terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

Beliau berkata, mangsa pertama merupakan seorang pengarah sebuah syarikat berusia 45 tahun yang memberhentikan kenderaannya di lampu isyarat Jalan PJS 8/2 di sini.

"Dalam kejadian pukul 10.30 pagi, mangsa kehilangan beg tangan yang berisi RM500, telefon bimbit dan iPad," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini hari ini.

Meor Hamdan berkata, dua lagi wanita dilaporkan menjadi mangsa penjenayah menggunakan modus operandi sama ialah seorang kakitangan bank dan jurujual kereta, masing-masing berusia 24 dan 27 tahun.

Beliau berkata, kakitangan bank terbabit disamun pada pukul 5.30 petang semasa berada dalam kereta di Jalan 16/10, manakala jurujual kereta pula menjadi mangsa selang 25 minit kemudian di SS 20/10.

Katanya, mangsa masing-masing mengalami kerugian berjumlah RM1,500 dan RM900.

"Daripada tiga kes tersebut, dua mangsa disamun semasa berhenti di lampu isyarat dan seorang terperangkap dalam kesesakan," katanya sambil menasihatkan pemandu supaya berhati-hati selepas ini.

No comments:

Post a Comment