Wednesday, October 19, 2011

lari masuk balai

Peragut panik silap langkah


KLUANG - Dua peragut yang mengakibatkan kematian seorang warga emas awal bulan lalu, tersilap langkah apabila dalam keadaan panik, mereka melarikan diri ke Kem Tentera Mahkota di sini, selepas dikejar peronda polis ketika melakukan satu lagi jenayah samun, di Taman Intan, Isnin lalu.

Kejadian berkenaan berlaku kira-kira jam 1 pagi, 10 Oktober lalu, di mana kedua-dua suspek adalah penganggur berusia 28 dan 31 tahun, ditahan anggota keselamatan kem berkenaan kerana cuba masuk ke kawasan kem dan mereka kemudiannya di- serahkan kepada polis.

Timbalan Ketua Polis Negeri Johor, Datuk Ismail Yatim berkata, tangkapan dilakukan hasil risikan polis dan maklumat awam sehingga kedua suspek diberkas berikutan menyamun warga emas berusia 79 tahun di Jalan Yap Tau Sah, kira-kira jam 6.30 pagi, 1 September lalu.

“Warga emas berkenaan dikatakan berjalan pulang dari kedai kopi telah disamun suspek dan berlaku pergelutan antara mereka.

“Mangsa akhirnya rebah setelah dipukul di kepala menggunakan objek keras dipercayai topi keledar oleh suspek yang kemudiannya melarikan diri bersama seorang lagi suspek yang menunggang motosikal. Akibat kecederaan itu, mangsa dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dan koma selama dua minggu sebelum meninggal dunia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), semalam.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek terlibat dalam lapan kes samun dan polis mempunyai bukti untuk mengaitkan mereka dengan kes samun yang menyebabkan kematian lelaki warga emas berkenaan.

Beliau berkata, suspek direman sehingga esok (hari ini) untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 kerana membunuh.

Dalam kes berasingan, Ismail berkata, seorang lelaki cedera parah setelah diparang dan dipukul dengan kayu oleh seorang suspek dipercayai akibat tidak puas hati dengan urus niaga dadah antara mereka, di kawasan rumah murah, Renggam di sini, pada 10 Oktober lalu.

Ismail berkata, dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa terpaksa dimasukkan ke Hospital Kluang setelah patah tangan dan luka di bahu akibat serangan berkenaan.

Beliau berkata, hasil risikan, suspek berumur 27 tahun itu berjaya ditahan pada jam 1 pagi, 11 Oktober, lalu di sekitar daerah ini.

Menurutnya, hasil ujian air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif menggunakan dadah jenis Methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah kepada mangsa.

No comments:

Post a Comment