Tuesday, March 8, 2011

Buang sekolah Kerana Belasah Rakan


Pelajar belasah rakan hingga cedera mungkin dibuang sekolah


MANSOR Lat melihat tangan kiri Muhamad Shahfaly Anoar yang patah dan terlucut bahagian sendi bahu selepas dibelasah rakannya ketika ditemui di Kampung Syed Kassim, Simpang Empat, Kangar, semalam.

KANGAR 7 Mac - Empat pelajar yang sedang disiasat polis berhubung kejadian membelasah Muhammad Shahfaly Anoar, 15, mungkin akan dibuang sekolah.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Perlis, Mansor Lat berkata, tindakan itu akan diambil jika terbukti empat pelajar berkenaan terlibat dalam kejadian itu.

"Tindakan buang sekolah hanya akan diputuskan setelah Jawatankuasa Disiplin Sekolah bermesyuarat dan selepas siasatan polis selesai, namun untuk waktu ini kita serahkan kes ini kepada pihak polis," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat Muhammad Shahfaly bersama-sama pegawai JPN dan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Perlis, Mohd. Rizal Ismail, di rumah mangsa di Kampung Syed Kassim, Simpang Empat, di sini hari ini.

Mansor yang kesal dengan kejadian tersebut turut mengarahkan semua sekolah mengambil tindakan tegas terhadap pelajar yang ponteng.

"Ini kerana hasil siasatan kami mendapati tiga pelajar yang terlibat dalam kejadian tersebut ponteng kelas walaupun berada dalam kawasan sekolah semasa hari kejadian," katanya.

Beliau yang turut melawat sekolah Muhammad Shahfaly mendapatkan maklumat daripada kakitangan sekolah mengenai kejadian tersebut.

"Saya difahamkan semasa Muhammad Shahfaly ditarik keluar dari kelas oleh pelajar lain, guru yang berada dalam kelas tidak nampak kejadian tersebut kerana beliau dikelilingi oleh sekumpulan pelajar lain untuk memberi penerangan mengenai subjek yang diajar," katanya.

Sementara itu, Muhammad Shahfaly berkata, akibat kejadian tersebut dia merasa trauma untuk kembali semula ke sekolah berkenaan.

"Hasil perbincangan dengan bapa, saya memutuskan untuk bertukar ke sekolah lain," katanya.

Muhammad Shahfaly yang dibelasah oleh sekumpulan pelajar pada Jumaat lalu, terkehel tulang bahu, patah lengan kiri dan luka di bahagian kening.

Muhammad Shahfaly diberi cuti sakit selama 11 hari manakala empat pelajar berusia 14 dan 15 tahun yang dipercayai membelasahnya kini ditahan di Balai Polis Kangar.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment